Anggota Skuad Pasukan Tindak Segera (Pantas) Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menguji tahap kualiti air sungai di tapak lapangan berdasarkan kiriman Facebook LUAS pada 22 April 2023
AGENDANASIONAL

Tindakan pantas LUAS, Air Selangor elak pencemaran berlarutan di Sungai Selangor

SHAH ALAM, 10 OKT: Tindakan pantas Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berjaya mengelak pencemaran bau seakan diesel berlarutan ke Sungai Selangor.

EXCO alam sekitar berkata LUAS turut menjalankan siasatan ke beberapa lokasi berpotensi seperti aktiviti pembangunan berhampiran namun tiada kesan minyak ditemui menerusi persampelan.

Jamaliah Jamaluddin berkata insiden di muka sauk loji rawatan air (LRA) Rantau Panjang pada 11.15 malam tadi mungkin disebabkan faktor kuantiti minyak yang minima dan bersifat sementara masuk ke Sungai Selangor.

“LUAS dan Air Selangor melakukan tindakan segera dengan meletakkan ‘oil boom’ di muka sauk LRA selain mengaktifkan pelepasan air dari kolam alternatif.

“LUAS juga mengaktifkan pelepasan air 300 juta liter sehari (JLH) dari Sistem Peningkatan Hibrid Pinggir Sungai (HORAS) 600 dan sebanyak 290 JLH dari kolam alternatif di Bestari Jaya bertujuan meningkatkan faktor pencairan sungai.

“Tiga pintu baraj Bestari Jaya juga telah dibuka bagi tujuan flushing segera aliran ke hilir muka sauk. Kekerapan pensampelan bau bersama Air Selangor juga ditingkatkan kepada setiap 30 minit di muka sauk LRA,” katanya yang turut memaklumkan sampel diambil telah dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk analisa lanjut.

Jamaliah berkata siasatan susulan bagi mengenalpasti punca kejadian diteruskan hari ini dan dan tindakan tegas terhadap pesalah bakal diambil selaras peruntukkan seksyen 79, Enakmen LUAS (Pindaan) 2020.

 

 

 


Pengarang :