Orang ramai mendengar syarahan pengajian Tokoh Ulama dari Pattani, Baba Ismail Sepanjang Al-Fathoni ketika Kuliah Dhuha Talaqqi Kitab Turath Islami Ihya’ ‘Ulumuddin dan Mawaqif al-Marjan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz, Shah Alam pada 10 Oktober 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Ulama Pattani sambung talaqqi kitab Ihya’ ‘Ulumuddin, Mauqif al-Marjan

Oleh Abdul Rahim Sabri

SHAH ALAM, 10 OKT: Ulama terkenal Pattani Baba Ismail Sepanjang al-Fathoni menyambung semula pengajian talaqqi kitab Ihya’ ‘Ulumuddin karya Imam al-Ghazali di Masjid Negeri di sini hari ini.

Menyampai kuliah di depan hampir 200 hadirin, Baba Ismail menghuraikan beberapa potong hadis Nabi Muhammad SAW berkaitan fadhilat ilmu lengkap dengan status periwatannya.

Dalam kuliah yang berlangsung pada waktu dhuha, beliau turut menjelaskan jaminan rezeki Allah bagi merungkai kebimbangan orang ramai yang sering mengeluh mengenai nasib dan masa depan.

Sejam bersyarah tentang kitab agung Imam al-Ghazali, ulama nusantara beralih ke kitab Mawaqif al-Marjan yang membicarakan tentang ayat al-Quran yang muhkam (nyata) atau mutasyabihat (samar-samar yang memerlukan tafsiran).

Pengajian pagi tadi diteruskan ke sesi kedua selepas Isyak dan esok pada waktu dhuha.

Program keagamaan dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk pejabat Dato’ Menteri Besar merupakan kesinambungan Festival Turath Islami Selangor yang dianjurkan di kediaman rasmi menteri besar Selangor pada 20 Mei lalu.

Pengajian kedua diteruskan pada 3 Julai di Masjid Negeri bertujuan menyemarak lagi minat umat Islam terhadap pemikiran al-Ghazali, ilmuan Islam pelbagai bidang yang berpengaruh ke serata dunia.

 


Pengarang :