Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bertemu mantan Mufti Besar Mesir Syeikh Professor Dr Ali Jum’ah ketika lawatan kerja ke Mesir baru-baru ini. Foto Facebook Amirudin Shari pada 7 Oktober 2023.
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Universiti Islam Selangor dicadang jadi pusat kajian ilmu turath, dalami tamadun silam

SHAH ALAM, 10 OKT: Lawatan kerja Kerajaan Selangor ke Mesir turut membincangkan rancangan negeri yang mahu mendalami kajian ilmu turath.

Dato’ Menteri Besar berkata perkara itu dibincang bersama mantan Mufti Besar Mesir Syeikh Professor Dr Ali Jum’ah, yang pernah dijemput ketika penganjuran Festival Turath Islami Selangor pada Mei.

“Saya juga sedang fikirkan bagaimana mahu menjadikan univesiti kita, Universiti Islam Selangor dan masjid dapat dikembangkan sebagai pusat kajian yang mempunyai kebijaksanaan, angkat tamadun silam yang terendam begitu lama.

“Kita juga ada buat terjemahan buku dan antaranya Ihya Ulumuddin. Jilid pertama sudah selesai dan beberapa jilid lain kita sedang terbitkan.

“Ini bukan judul pertama, dah lebih 60 judul kita terbitkan termasuk terjemah karya barat, Arab, Timur Tengah selain kitab Al-Ghazali, bagaimana pandangan terhadap ilmu falsafah,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berucap ketika merasmikan Konvensyen Mahasiswa Selangor Timur Tengah 2023 di Amman, Jordan malam tadi.

Terdahulu beliau turut membincangkan isu keperluan kira-kira 300 mahasiswa Selangor yang menuntut di sama bersama Duta Malaysia.

Dato’ Menteri Besar yang memulakan lawatan sejak kelmarin bakal mengadakan pertemuan bersama penasihat utama Raja Abdullah, Putera Ghazi Muhammad dan menghadiri majlis ramah mesra bersama diaspora Malaysia di Jordan.

Esok, Amirudin dijadual menyertai bual bicara Mahasiswa Selangor di Jordan, melawat penempatan pelajar dan merasmikan penutupan Konvensyen Mahasiswa Selangor Timur Tengah 2023.


Pengarang :