Ketua Pemuda Amanah Selangor Danial Al Rashid Haron Aminar Rashid (kiri) dan Ketua AMK Selangor Muhammad Izuan Ahmad Kasim ketika sidang media di Bangunan Annex, Shah Alam pada 14 November 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

AMK, Pemuda Amanah lapor polis dakwaan undang-undang syariah bakal lenyap

SHAH ALAM, 14 NOV: Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Pemuda Amanah Selangor akan membuat laporan polis susulan dakwaan Pemuda PAS berkait undang-undang syariah negeri dalam laman X.

Ketua AMK Selangor Izuan Kasim menegaskan hantaran yang mendakwa kononnya usaha melenyapkan peraturan itu berjaya dilakukan di Selangor jelas menyentuh isu kaum, agama dan institusi diraja (3R).

Beliau menjelaskan kenyataan tersebut juga seolah-olah merendahkan martabat institusi diraja Selangor yang bertanggungjawab menjaga perihal undang-undang syariah negeri.

“Kuasa berhubung undang-undang syariah ini bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor sebagai raja pemerintah, justeru PAS Malaysia harus duduk dan kaji semula perlembagaan.

“Kami menggesa Pemuda PAS supaya berhenti mempolitikkan isu ini untuk publisiti murahan dan memohon ampun kepada Sultan Selangor dengan segera atas fitnah yang sengaja dibuat,” katanya.

Beliau membuat gesaan itu bersama Ketua Pemuda Amanah Selangor Danial Al Rashid Haron dalam sidang media di sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Izuan menambah hantaran tersebut juga mendakwa kononnya undang-undang jenayah syariah akan lenyap berikutan dicabar secara terancang oleh musuh Islam.

“Ini perkara yang mengejutkan. Kami ingin menegaskan dan memberi peringatan kepada Pemuda PAS bahawa kes tersebut masih di peringkat prosiding Mahkamah Persekutuan.

“Hentikan kenyataan seperti ini kerana ia boleh diklasifikasikan sebagai subjudis,” katanya.

Pemuda Pas Malaysia dalam hantarannya baru-baru ini mendakwa undang-undang jenayah syariah bakal lenyap jika rakyat terus berdiam diri dan ia berjaya dilakukan di Selangor.

Hantaran itu turut mengaitkan kes peguam Nik Elin Nik Abdul Rashid bersama anak perempuannya, yang memfailkan cabaran undang-undang untuk membatalkan 20 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

 


Pengarang :