Syarikat selenggara jalan negeri Infrasel Sdn Bhd (Infrasel) selesai kerja baik pulih dan menurap semula jalan raya di Jalan Marmu, Sepang pada 1 September 2023. Foto Laman X Infrasel
ADNAGENDANASIONALSELANGOR

Dana RM145 juta untuk pembangunan jalan raya, infrastruktur

Oleh NAS NORZIELA NASBAH

SHAH ALAM, 10 NOV: Sejumlah RM145 juta diperuntuk bagi menjayakan pembangunan jalan raya dan infrastruktur pada tahun depan, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata daripada jumlah tersebut, anggaran peruntukan RM16.45 untuk membaik pulih cerun, menaik taraf jalan di seluruh negeri, pelantikan perunding kajian trafik, pewartaan jalan negeri, pemasangan lampu jalan dan lampu isyarat serta meningkatkan aspek keselamatan jalan raya.

“Sebanyak RM12.6 juta pula untuk pembinaan jambatan di Kampung Sungai Buah (Sepang) dan Sungai Serigala Laluan B44 Jalan Hulu Bernam (Sungai Besar) selain menaik taraf jambatan di Jalan Ara, Bagan Pasir (Tanjung Karang).

“Belanjawan tahun depan turut menyediakan dana RM29.9 juta untuk kerja pembinaan jalan baharu manakala RM68.2 juta untuk mengatasi masalah kesesakan di jalan negeri.

“Projek Turapan Mega juga telah dilaksanakan tahun ini bagi memastikan jalan negeri diselenggara dengan baik melibatkan peruntukan RM50 juta,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2024 di sini hari ini.

Bagi memastikan pengurusan pengairan dan sumber air kekal teratur pula, belanjawan negeri memperuntuk RM65 juta untuk melaksanakan beberapa projek pembangunan.

“Peruntukan ini merangkumi pembangunan projek tebatan banjir, pembangunan sistem saliran, pembangunan lembangan sungai, pembangunan sumber air dan hidrologi, pengurusan saliran mesra slam dan pembangunan pantai dengan bilangan program sebanyak 103.

“Kerajaan Negeri juga akan bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan bagi menyelaras dan mempercepat pelaksanaan projek tebatan banjir yang dianggarkan berjumlah RM3 bilion termasuk projek tebatan banjir seperti Sungai Langat Fasa 2 di bawah Kerajaan Persekutuan,” katanya.


Pengarang :