Wakil 46 sekolah dalam daerah Petaling mendapatkan modul Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) daripada Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI di SMK Seksyen 18 Shah Alam pada 21 Julai 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
ADNAGENDASELANGOR

Dana tuisyen percuma ditingkat kepada RM10 juta tahun depan

SHAH ALAM, 10 NOV: Kerajaan menambah dana RM3 juta untuk Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) kepada Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI pada 2024.

Dato’ Menteri Besar berkata sebelum ini Kerajaan Negeri memperuntuk RM7 juta bagi program sama, menjadikan jumlahnya RM10 juta untuk tahun hadapan.

Tambahan dana bagi memenuhi sasaran terkandung dalam Tawaran Kita Selangor Kerajaan Perpaduan iaitu 200,000 pelajar dibantu dalam tempoh lima tahun, kata Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2024 hari ini.

“Selain pelajar Tingkatan 5, pelajar Tingkatan 4 juga dilibatkan di dalam PTRS. Sekali gus menggandakan jumlah pelajar terlibat kepada hampir 120,000 pelajar di seluruh Selangor,” katanya.

Tambahnya, PTRS menumpukan 65,000 pelajar di Selangor dengan mengadakan kelas tambahan bahasa Melayu, bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Sejarah dan Matematik Tambahan pada 2023.

“Sebanyak 277 sekolah terlibat termasuk Maahad Integrasi Tahfiz Selangor. Sejumlah 1,956 orang guru dan penyelaras terlibat dengan kos RM7 juta bagi 2023. Selain pemberian modul, peruntukan termasuk elaun guru dan makan tengah hari kepada pelajar yang menyertai tuisyen,” katanya.

PTRS memberi bantuan kelas tambahan untuk pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah yang prestasi pelajaran sederhana atau lemah.


Pengarang :