SHAH ALAM, 10 NOV: Sebanyak RM1 juta diperuntukkan bagi penubuhan Majlis Kemahiran dan Pekerjaan Selangor yang bakal memenuhi keperluan pekerja berkemahiran dalam beberapa industri utama.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata cadangan itu merupakan penyelesaian kepada kekurangan pekerja berkemahiran khusus dalam beberapa industri yang sedang membangun.
“Antara cabaran utama yang dialami oleh pelabur tempatan dan luar negara dalam pertemuan saya dengan mereka adalah kekurangan pekerja yang mempunyai kemahiran khusus dalam beberapa industri yang sedang membangun.
“Tekad pentadbiran ini adalah untuk mengkoordinasi dengan lebih ketat dan tersusun dengan menggerakkan seluruh kekuatan negeri bagi mengadakan kerjasama dengan sektor swasta, sektor pendidikan, serta meneroka peluang yang boleh dimanfaatkan oleh pekerja yang lebih berumur dalam keadaan negeri Selangor telah ditakrifkan sebagai masyarakat menua,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2024 di Dewan Negeri Selangor hari ini.
Tujuan penubuhan Majlis Kemahiran dan Pekerjaan Selangor:
- Menggerakkan kerjasama antara universiti, pekerja, dan industri
2. Mengenalpasti peluang pekerjaan sedia ada serta merancang pekerja yang akan diperlukan dalam bidang tertentu mengikut sektor pelaburan yang dalam proses kelulusan
3. Meningkatkan produktiviti pekerja di Selangor
4. Membolehkan rakyat Selangor memanfaatkan pekerjaan sedia ada dan peluang pekerjaan yang akan diwujudkan melalui padanan pekerjaan, peluang latihan teknikal dan vokasional.