Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan pembentangan Belanjawan Selangor 2024 di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 10 November 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Gagasan Rumpun Selangor diperkenal, jelajah di sembilan daerah

SHAH ALAM, 11 NOV: Gagasan Rumpun Selangor akan diperkenal tahun depan bagi meraikan kepelbagaian dan menyemarak semangat perpaduan negeri ini.

Menerusi gagasan itu, Dato’ Menteri Besar berkata Karnival dan Jelajah Perpaduan Rumpun Selangor diadakan di sembilan daerah dengan peruntukan RM4.5 juta.

“Antara program yang akan dilaksanakan seperti jualan murah, sukan rakyat, saringan kesihatan percuma, jerayawara atau turun padang bagi mempromosi pelbagai inisiatif.

“Ia termasuk program rakyat cetusan Kerajaan Negeri dan Persekutuan, gotong-royong perdana, program bimbingan kerjaya dan usahawan dan rumah perpaduan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari, semalam.

Selain itu, beliau berkata sebanyak RM4 juta pula disalur bagi menjalankan projek pembangunan desa serta ekonomi kampung tradisi.

“Dana ini diperuntukkan untuk program Jejak Eko Desa Selangor. Kita kenal pasti jenis aktiviti ekonomi tempatan yang berpotensi dikomersial sebagai identiti kampung selain mengadakan kursus kemahiran secara percuma,” katanya.

Mengulas lanjut Amirudin berkata belanjawan tahun depan turut memperuntuk RM2.5 juta khusus untuk masyarakat orang Asli, jumlah tertinggi dalam sejarah.

Beliau menjelaskan RM1 juta daripada jumlah itu bagi membina, membaik pulih dan menaik taraf kedaifan kediaman perkampungan orang Asli manakala jumlah sama disalur bagi menyelesaikan isu pewartaan tanah perkampungan terbabit

Manakala RM500,000 lagi, katanya bagi kebajikan masyarakat orang Asli termasuk menumpukan perhatian menaik taraf infrastruktur sekolah perkampungan orang Asli.

Peruntukan bagi program kebudayaan pula RM2 juta sementara RM6 juta untuk menaik taraf muzium, penyelidikan adat Melayu serta pewartaan warisan sebagai identiti negeri.


Pengarang :