Orang ramai berbelanja pada Jualan Ehsan Rahmah (JER) di pasar raya Segi Fresh Teluk Panglima Garang pada 30 September 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Jualan murah barangan asas di empat cawangan pasar raya Segi Fresh esok

SHAH ALAM, 11 NOV: Program jualan murah kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dengan kerjasama pasar raya Segi Fresh diteruskan di empat lokasi, esok.

Jualan Ehsan Rahmah (JER) yang menawarkan barangan asas seperti ayam, ikan, daging kiub, sayur-sayuran dan minyak masak diadakan di cawangan Segi Fresh Sungai Tua, Puncak Alam, Pekan Salak dan Pandamaran.

“Kami bekerjasama dengan PKPS dan KPDN Selangor untuk membantu meringankan beban komuniti setempat terutamanya golongan B40.

“Dapatkan keperluan harian dengan harga berpatutan berbanding harga pasaran, produk berkualiti dan barang basah yang segar,” maklum Segi Fresh di Facebook.

Jualan murah itu sebahagian daripada memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai antara PKPS dan Segi Fresh, Julai lalu bagi memperluas capaian kepada penduduk setempat.

Pasar raya itu dilantik sebagai rakan strategik PKPS bagi pelaksanaan program JER termasuk penyediaan lokasi jualan dan logistik di 55 premis Segi Fresh seluruh Selangor.

Selain bekerjasama dengan Segi Fresh, PKPS turut menganjurkan JER di lokasi terpilih seluruh negeri pada setiap hari kecuali Jumaat dan cuti umum.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM13).

Selangor membelanjakan subsidi berjumlah RM40 juta untuk melaksanakan jualan murah di 2,850 lokasi yang memanfaatkan lebih 5 juta rakyat.

Lokasi terkini JER seluruh negeri boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan linktr.ee/myPKPS.


Pengarang :