Graduan Universiti Selangor (Unisel) menerima ijazah sempena istiadat konvokesyen ke-17 di Dewan Canselor Unisel kampus Bestari Jaya, Kuala Selangor pada 9 September 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDAEXCONASIONALSELANGOR

Hadiah RM1,000 anak masuk universiti diteruskan tahun depan

SHAH ALAM, 11 NOV: Insentif pemberian wang tunai RM1,000 kepada anak Selangor berjaya melanjutkan pelajaran ke institut pengajian tinggi awam dan swasta diteruskan tahun depan.

Dato’ Menteri Besar berkata Hadiah Pengajian Institut Pengajian Tinggi (HPIPT) dengan peruntukan RM3 juta itu memfokuskan keluarga berpendapatan RM5,000 ke bawah.

Tambah Dato’ Seri Amirudin Shari, Kerajaan Negeri juga akan meneruskan Tabung Kumpulan Wang Biasiswa Negeri Selangor (TKWBNS) dengan dana RM9 juta.

“Kerajaan Negeri komited untuk meneruskan program ini untuk memberi peluang kepada anak-anak Selangor melanjutkan pengajian ke Universiti terkemuka dunia.

“Program pinjaman dan biasiswa yang ditawarkan telah memberikan manfaat kepada kira-kira seramai 29,199 orang sejak 1985 hingga September dengan kos kewangan sebanyak RM421.5 juta,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2024 semalam.

Amirudin juga menyasar 2,500 pelajar akan dibantu menerusi Bantuan Asas Yuran Universiti (BAYU) tahun depan.

Jelasnya, inisiatif itu akan membantu keluarga M40 (pendapatan sederhana), B40 (pendapatan rendah) dan B10 (pendapatan bawah RM2,500).

Unisel yang bergerak sebagai agensi pelaksana akan memberi bantuan asas yuran dari RM500 hingga RM1,000.

“Dengan adanya inisiatif ini, ianya dapat mengurangkan beban untuk menyambung pengajian di peringkat tinggi,” katanya.


Pengarang :