Seorang wanita meredah air yang melimpahi jalan ekoran hujan lebat berterusan semasa tinjauan di Kampung Gong Tok Nasek, Kuala Terengganu pada 9 Disember 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Hujan lebat berterusan tahap buruk di Terengganu, Kelantan hingga Rabu

KUALA LUMPUR, 20 NOV: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan tahap buruk yang dijangka berlaku di beberapa kawasan di Kelantan dan Terengganu hingga Rabu ini.

MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan ia dijangka melibatkan Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah, Bachok, Machang dan Pasir Puteh di Kelantan.

Di Terengganu pula membabitkan beberapa kawasan di Besut, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Marang.

“Amaran hujan berterusan (tahap buruk) dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan hujan lebat berterusan dijangka berlaku dengan jumlah hujan melebihi 60 milimeter dalam tempoh enam jam,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu MetMalaysia turut memaklumkan hujan berterusan tahap waspada turut dijangka di beberapa kawasan di Kelantan membabitkan Jeli dan Kuala Krai, Terengganu (Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman) dan di Pahang membabitkan kawasan Kuantan dalam tempoh sama.

Situasi sama juga dijangka berlaku di Kedah meliputi kawasan Yan, Kuala Muda, Sik, Baling, Kulim dan Bandar Baharu, Pulau Pinang serta Perak (Kerian, Larut, Matang Dan Selama dan Manjung) dalam tempoh 22 sehingga 23 Nov (Khamis) ini.

-BERNAMA


Pengarang :