Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan pembentangan Belanjawan Selangor 2024 di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 10 November 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jajaran rel majukan pantai barat negeri, buka perbandaran baharu

SHAH ALAM, 10 NOV: Bagi menggalakkan rakyat Selangor menggunakan pengangkutan awam, Kerajaan Negeri berhasrat membangunkan Jajaran Rel Kita Selangor di pantai barat negeri.

Dato’ Menteri Besar berkata jaringan kereta api itu akan bermula dari Klang ke Kuala Selangor, Tanjong Karang, dan Sabak Bernam, selain meneroka potensi jajaran sedia ada yang belum dibina iaitu dari Kuang ke Kuala Selangor.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, projek infrastruktur itu akan dimulakan menerusi kajian kebolehlaksanaan yang akan mengambil kira pelbagai aspek, dengan peruntukan RM3 juta.

“Projek infrastruktur terutamanya jaringan rel dan bas mampu menawarkan peluang pekerjaan, bukan sahaja pada peringkat pembinaan infrastruktur, tetapi juga sepanjang jangka hayat pengoperasian projek terutama dari segi penyelenggaraan.

“Jajaran Rel Kita Selangor di kawasan pantai barat dapat membangunkan kawasan Kapar, Jeram, Kuala Selangor, Tanjong Karang, Sekinchan, Sabak sehingga ke sempadan Perak termasuk dengan pembukaan perbandaran baharu di jajaran ini,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2024 di sini hari ini.

Selain pembinaan jajaran kereta api, Amirudin menambah, Kerajaan Negeri akan mengoptimumkan laluan pejalan kaki selain menambah perkhidmatan bas dan van awam.

Jelasnya, penggunaan Bas Smart Selangor dan perkhidmatan van transit atas permintaan (DRT) di semua pihak berkuasa tempatan (PBT) bakal diperkukuh dengan peruntukan RM5 juta pada tahun depan.

Malah Amirudin berkata, laluan pejalan kaki yang selamat dan selesa dengan fungsi pengudaraan serta panel solar akan dibina tahun depan melalui projek rintis dilaksana Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

“Laluan pejalan kaki bermula dari Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah ke pusat bandar Shah Alam itu akan dibina dengan peruntukan RM3 juta,” katanya.


Pengarang :