Suasana sekitar pembentangan Belanjawan Selangor 2024 di Dewan Annex, Shah Alam pada 10 November 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Jawatankuasa perunding teliti cadangan tambah baik khidmat PBT

SHAH ALAM, 10 NOV: Jawatankuasa khas perunding akan ditubuhkan terlebih dahulu pada Januari tahun depan sebelum Suruhanjaya Perkhidmatan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) diwujudkan.

EXCO kerajaan tempatan berkata jawatankuasa itu melibatkan mantan Datuk Bandar, mantan perancang PBT, pegawai Ahli Dewan Negeri, arkitek, wakil persatuan perumahan dan kementerian.

“Saya menyambut baik penubuhan suruhanjaya ini tetapi sebelum itu kita akan tubuhkan jawatankuasa khas perunding Januari nanti untuk meneliti dan beri cadangan bagi perkasa perkhidmatan PBT.

“Saya percaya sekiranya PBT dapat berikan perkhidmatan terbaik, ia secara langsung meningkatkan imej Kerajaan Negeri dan rakyat juga berpuas hati,” kata Ng Suee Lim ketika ditemui.

Dalam pembentangan belanjawan semalam, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan cadangan penubuhan suruhanjaya itu bagi meningkatkan perkhidmatan termasuk tempoh respon aduan.

Sementara itu, EXCO Pembasmian Kemiskinan V Papparaidu menyambut baik pengumuman belanjawan negeri tahun depan yang disifatkannya seimbang dan prihatin kepada setiap lapisan rakyat.

Jelasnya, syarat permohonan baucar Jom Shopping perayaan yang dinaikkan untuk isi rumah RM3,000 sebulan bertepatan dengan situasi ekonomi mencabar yang didepani rakyat ketika ini.

“Inisiatif ini bertepatan dengan keadaan ekonomi ketika ini yang mana kebanyakan harga barang semakin meningkat dan rata-rata individu memang memerlukan bantuan sebegini,” ujarnya.


Pengarang :