Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjawab soalan ketika sidang Dewan Negeri Selangor di Shah Alam pada 22 November 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Landasan Lumayan jelas cukai, royalti lebih RM195,000 untuk pembangunan Sungai Klang

SHAH ALAM, 22 NOV: Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB) tidak pernah memohon pengecualian cukai dan royalti berhubung pembangunan jajaran Sungai Klang, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata secara keseluruhan LLSB selaku anak syarikat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI telah membayar RM195,854.

“LLSB anak syarikat MBI dilantik untuk membangunkan dan memajukan jajaran Sungai Klang, bayaran royalti masih perlu dibayar dan tiada pengecualian khas diberikan.

“Royalti perlu dibayar RM180,000 manakala bayaran lesen pendudukan sementara (TOL) adalah RM15,854, jadi jumlah keseluruhan yang perlu dibayar LLSB RM195,854.

Keadaan Sungai Klang yang semakin bersih setelah lebih 75,000 tan metrik sampah berjaya dikeluarkan sejak 2016. Foto ihsan Landasan Lumayan Sdn Bhd

“Mengikut rekod tiada permohonan LLSB untuk mengecualikan cukai dan royalti yang harus dibayar,” kata wakil rakyat Sungai Tua itu menjawab soalan wakil rakyat Hulu Klang Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali di Sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Pada 2018, Kerajaan Negeri melancarkan projek Selangor Maritime Gateway (SMG) sebagai inisiatif untuk membersih, memulihara dan membangunkan Sungai Klang yang tercemar.

LLSB, sebuah anak syarikat milikan penuh MBI telah dilantik oleh Kerajaan Negeri bagi merancang dan mengurus pelaksanaan projek.


Pengarang :