Petugas kesihatan memantau tahap kesihatan masngsa terjejas banjir di pusat pemindahan banjir sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan Dengkil, Sepang pada 9 September 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Mangsa banjir Kelantan, Terengganu meningkat, dipindah ke 31 PPS

KUALA LUMPUR, 21 NOV: Jumlah mangsa banjir di Terengganu dan Kelantan terus meningkat setakat 8 malam ini.

Di Terengganu, banjir gelombang pertama di negeri itu menunjukkan trend meningkat apabila seramai 3,917 mangsa ditempatkan di 28 pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negeri berbanding 2,751 mangsa di 18 PPS petang tadi.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, daerah Kuala Nerus paling teruk terjejas dengan 1,426 orang daripada 370 keluarga berlindung di 12 PPS manakala di Kuala Terengganu seramai 1,053 penduduk daripada 309 keluarga ditempatkan di lima PPS.

Di Marang pula, seramai 926 orang daripada 234 keluarga ditempatkan di enam PPS sementara di Besut seramai 504 orang daripada 113 keluarga dipindahkan ke empat PPS.

Bagaimanapun di Setiu, hanya lapan mangsa daripada tiga keluarga berada di satu PPS iaitu di Balai Raya Kampung Bintang.

Laporan Info Banjir di laman rasmi Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, menunjukkan sungai-sungai utama di Terengganu masih di paras normal kecuali di tujuh stesen di empat daerah iaitu Kuala Nerus, Kemaman, Setiu dan Marang.

Di Setiu, stesen Sungai Nerus di Kampung Bukit; Sungai Setiu di Kampung Besut dan Sungai Setiu di Jambatan Permaisuri berada pada tahap waspada sementara Sungai Chalok di Jambatan Chalok memasuki tahap amaran.

Di Kuala Nerus pula, stesen Parit Utama di Padang Kemunting sudah mencapai tahap bahaya apabila paras air mencapai paras 4.17 meter (m) sementara di stesen Sungai Marang di Jambatan Pengkalan Berangan, air sungai berada pada paras waspada.

Di Kemaman, stesen Sungai Tumpat di Kg Baru Kemasik juga melepasi tahap amaran iaitu di paras 1.84m.

Anggota bomba memindahkan mangsa banjir di Kampung Jirat, Kuala Krai, Kelantan pada 20 Disember 2022. Foto Facebook Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan

Sementara itu di Kelantan, jumlah mangsa banjir terus meningkat kepada 316 orang mangsa daripada 80 keluarga malam ini, berbanding 71 mangsa daripada 17 keluarga petang tadi.

Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kesemua mangsa berlindung di tiga PPS di jajahan Pasir Puteh dan Bachok (2).

“Di Pasir Puteh, PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Dalam Rhu menempatkan 197 mangsa, SK Wakaf Raja (30) dan SK Sungai Petai (31),” menurut portal tersebut.

JKM memaklumkan di Bachok sebanyak 29 mangsa ditempatkan di PPS SK Jelawat dan Sekolah Menengah Kebangsaan Beris Panchor (29).

Di Perak, keadaan banjir semakin pulih apabila hanya tinggal 39 orang daripada 14 keluarga berlindung di satu PPS di Alor Pongsu, Kerian setakat malam ini, berbanding 75 orang daripada 22 keluarga pagi tadi.

Sekretariat JPBN Perak dalam kenyataan memaklumkan PPS SK Changkat Lobak yang sebelum ini menempatkan 18 orang daripada tiga keluarga ditutup petang tadi selepas semua mangsa pulang ke rumah masing-masing.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan hujan berterusan di Kerian, Larut Matang dan Selama, Hulu Perak, Kuala Kangsar dan Manjung hingga 23 November ini.

-BERNAMA


Pengarang :