Ketua Tanggungjawab Sosial Korporatnya (CSR) Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor menunjukkan Kupon Digital Rahmah bernilai RM5 sempena Kempen Platform Selangor (PLATS) di pasar malam Sri Andalas, Klang pada 21 November 2023. Foto SITI ROHAIZAH ZAINAL/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

MBI edar 1,000 kupon digital kepada pengunjung pasar malam Sri Andalas

KLANG, 22 NOV: Sebanyak 1,000 lagi kupon Digital Rahmah bernilai RM5 diedar kepada pengunjung pasar malam Sri Andalas di sini semalam, sempena Kempen PLATS Masuk Pasar.

Ketua tanggungjawab sosial korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI berkata edaran kupon itu antara usaha menggalakkan peniaga berdaftar dengan Platform Selangor (PLATS) sekali gus meningkatkan pendapatan mereka.

“Sebanyak 200 kupon telah diimbas pengunjung pasar dalam tempoh kurang dari sejam dengan bantuan kakitangan PLATS.

“Seramai 50 peniaga pasar malam berdaftar dengan PLATS dan pengunjung boleh menggunakan kupon untuk membeli pelbagai barangan. Ini antara usaha MBI untuk membantu peniaga,” kata Ahmad Azri Zainal Nor kepada pemberita.

Beliau berkata MBI dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan akan menjelajah ke setiap pasar untuk memberi pendedahan kepada peniaga manfaat berdaftar dengan platform itu.

“Contohnya di Klang, Majlis Perbandaran Klang (MPK) akan membawa program ini ke 73 pasar pagi dan malam untuk berjumpa peniaga supaya dapat mencapai pendaftaran 10,000 peniaga baharu.

“PLATS mahu berkongsi manfaat antaranya peniaga berdaftar boleh mendapat bantuan pembiayaan tanpa faedah untuk mengembangkan perniagaan selain menyertai pelbagai program anjuran PLATS,” katanya.

Kempen PLATS Masuk Pasar diadakan selama dua bulan di 12 lokasi terpilih seluruh negeri dan sebanyak 20,000 Kupon Digital Rahmah bernilai RM5 akan diedar kepada pengunjung.

PLATS diperkenal pada Ramadan 2020 bagi melengkapkan ekosistem Agenda Digitalisasi Selangor menerusi platform digital susulan penularan wabak Covid-19.

Ia merupakan inisiatif Kerajaan Selangor bagi membantu golongan perusahaan kecil mikro sederhana (PMKS) untuk mengadaptasi digitalisasi dalam perniagaan.

PLATS juga memperkenalkan inisiatif baharu iaitu program Latihan Pembangunan Usahawan Plats (U-PLATS) bagi membantu usahawan menguruskan perniagaan secara digital.

Ketua Tanggungjawab Sosial Korporatnya (CSR) Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor mengedarkan Kupon Digital Rahmah bernilai RM5 sempena Kempen Platform Selangor (PLATS) di pasar malam Sri Andalas, Klang pada 21 November 2023. Foto SITI ROHAIZAH ZAINAL/SELANGORKINI

Pengarang :