Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar bersama peserta Konvensyen Mahasiswa Timur Tengah 2023 di Amman, Jordan pada 10 Oktober 2023. Foto X Amirudin Shari
EXCOSELANGOR

Negeri cakna kebajikan siswa Timur Tengah, daulatkan syiar Islam

SHAH ALAM, 10 NOV: Peruntukan RM5 juta dalam belanjawan 2024 bagi pembangunan dan pengurusan mahasiswa Timur Tengah menjamin keselamatan serta keselesaan anak-anak Selangor di luar negara.

Gembira dengan pengumuman itu, EXCO Hal Ehwal Agama Islam Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata inisiatif berkenaan bukti pentadbiran negeri terus cakna dengan kebajikan pelajar di sana.

“Turut mengujakan saya dana besar menaik taraf masjid dan subsidi yuran Kelas al-Quran dan Fardu Ain Integrasi yang membuktikan Kerajaan Negeri terus mendaulatkan syiar Islam,” katanya.

Bertemakan Selangor Mandiri: Memacu Kemajuan, Memicu Perpaduan, belanjawan 2024 memperuntuk RM2.53 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan melaksanakan pembangunan negeri.

Sementara itu, EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi menyambut baik peruntukan RM10 juta yang diumumkan kepada pasukan Selangor FC untuk memastikan bola sepak negeri lebih cemerlang.

Berhubung penubuhan Liga e-Sukan di setiap daerah, beliau berkata program itu akan diperluas untuk mencapai matlamat sekali gus meningkatkan kemahiran dan ekonomi belia.

“Kita akan jana program e-sukan di peringkat daerah dan beri ruang kepada belia untuk ceburinya. Ia bukan sekadar hobi, sebaliknya satu karier untuk meningkatkan ekonomi anak muda,” jelasnya.

 


Pengarang :