Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjawab soalan ketika sidang Dewan Negeri Selangor di Shah Alam pada 24 November 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Peruntukan bawah Pejabat Menteri Besar selari kapasiti, urus banyak portfolio

SHAH ALAM, 24 NOV: Peruntukan diletakkan di bawah Pejabat Menteri Besar adalah bertepatan dan selari dengan kapasiti Menteri Besar yang memegang banyak portfolio.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ia juga bagi menampung keperluan memandangkan Menteri Besar turut mempunyai kapasiti untuk masuk ke setiap portfolio.

“Orang kata Menteri Besar ini ‘levelnya’ lebih tinggi, bukan… tetapi (kapasiti Menteri Besar) daripada segi konsep kedudukannya umpama menteri jika di kerajaan persekutuan manakala EXCO pula timbalan menteri.

“Walaupun dikatakan di bawah Pejabat Menteri Besar, tengok bawahnya ada pertanian, kebajikan dan sebagainya. Secara zahirnya atau bidang kuasa Menteri Besar mempunyai kuasa ke atas semua diberikan.

“Sistem ini tidak sama dengan Sarawak atau Sabah kerana di sana ada sistem kementerian, tidak memegang portfolio (sebaliknya) Menteri Besar mempunyai kapasiti untuk masuk di setiap portfolio,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan wakil rakyat Hulu Kelang Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berhubung peruntukan lebih diberikan kepada Pejabat Menteri Besar di sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Selain berperanan sebagai Menteri Besar, Amirudin turut memegang lima portfolio iaitu pembangunan tanah dan sumber alam, kewangan dan tindakan ekonomi, pemodenan pentadbiran dan digitalisasi kerajaan, komunikasi strategik dan pendidikan dan pembangunan modal insan.

Terdahulu, Amirudin memaklumkan Kerajaan Negeri akan menyalurkan peruntukan awal sebanyak RM1.1 juta kepada 22 wakil rakyat pembangkang dalam masa terdekat.

Beliau berkata peruntukan RM50,000 untuk setiap wakil rakyat pembangkang itu bagi membantu mereka menyediakan keperluan dan pengurusan pejabat di pusat khidmat kawasan.


Pengarang :