Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjawab pertanyaan wakil rakyat ketika sidang Dewan Negeri Selangor di Shah Alam pada 24 November 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Peruntukan awal RM1.1 juta disalur kepada 22 wakil rakyat pembangkang

SHAH ALAM, 24 NOV: Kerajaan Negeri akan menyalurkan peruntukan awal sebanyak RM1.1 juta kepada 22 Ahli Dewan Negeri (ADN) pembangkang dalam masa terdekat.

Dato’ Menteri Besar berkata peruntukan RM50,000 untuk setiap wakil rakyat pembangkang itu bagi membantu mereka menyediakan keperluan dan pengurusan pejabat di pusat khidmat kawasan.

“Peruntukan untuk pembangkang pada penggal yang lepas dibahagikan mengikut tiga kategori iaitu ‘purely’ pembangkang, pembangkang yang menyokong kerajaan dan pembangkang di blok kerajaan.

“Untuk peruntukan penggal ini, saya perlu bertemu dengan wakil pembangkang selepas sidang DUN. Saya sudah nyatakan secara lisan tetapi belum dapat permintaan lagi dari mereka (pembangkang).

“Menjelang akhir tahun ini, kita menyedari terdapat beberapa kepentingan. Saya maklumkan kepada pejabat khidmat pembangkang, tahun ini kita beri peruntukan RM50,000 dahulu supaya wakil rakyat pembangkang dapat berkhidmat dengan lebih efisien,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau menjawab pertanyaan wakil rakyat Sementa Noor Najhan Mohamad Salleh yang ingin mengetahui jumlah peruntukan ADN dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Amirudin berkata jumlah peruntukan bagi wakil rakyat kerajaan pula ditentukan mengikut jumlah pengundi atau penduduk di kawasan masing-masing.

“Kalau jumlah pengundi kurang 40,000, peruntukan diberikan sebanyak RM750,000 manakala untuk jumlah pengundi dari 40,001 hingga 55,000, kita salurkan RM800,000.

“Jumlah pengundi 55,000 hingga 70,000 adalah RM850,000. Untuk kawasan ada 70,000 hingga 90,000 pengundi kita sediakan RM900,000. Jumlah penduduk lebih 90,000, kita berikan sebanyak RM950,000,” katanya.


Pengarang :