Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Kesihatan di Putrajaya pada 23 Jun 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Tapak asal tidak sesuai, pusat kecemerlangan mental dibina di Bandar Baru Enstek

Oleh NAS NORZIELA NASBAH

SHAH ALAM, 20 NOV: Lokasi pembinaan Pusat Kecemerlangan Mental Kebangsaan (NCEMH) membabitkan kos RM500,000 dipindahkan ke Bandar Baru Enstek apabila tapak asal di Bandar Baru Bangi dikenal pasti tidak sesuai.

Menteri Kesihatan berkata keadaan muka bumi tapak asal berkeluasan 12.18 hektar didapati beralun, berlurah sedalam 6 meter, berpaya dan mempunyai sungai.

“Kementerian Kesihatan mengenal pasti tapak alternatif iaitu di Bandar Baru Enstek, Negeri Sembilan dengan sebahagian tapak itu digunakan bagi pembinaan Pusat Kawalan Penyakit Negara,” kata Dr Zaliha Mustafa.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) mengenai status pengoperasian, sasaran utama dan pencapaian terkini NCEMH sejak dilancarkan pada bulan Oktober 2022.

Dr Zaliha memaklumkan pusat kecemerlangan itu bertindak sebagai agensi peneraju dan koordinasi bagi menyelaraskan program kesihatan mental yang menggabungkan komponen kesihatan awam, perubatan dan penyelidikan.

Katanya, pusat itu juga menjadi platform dalam merancang dan melaksanakan perkhidmatan kesihatan mental yang membabitkan kolaborasi strategik agensi awam, swasta, universiti dan pertubuhan badan bukan kerajaan.

“Buat masa ini, NCEMH berfungsi dengan kapasiti anggota seramai 46 orang yang melaksanakan lima skop utama iaitu mempromosi kesihatan mental dan pencegahan penyakit mental; intervensi krisis kesihatan mental; latihan dan pendidikan kesihatan mental; survelan kesihatan mental; dan penyelidikan dan inovasi,” katanya.


Pengarang :