SHAH ALAM, 2 DIS: Lebih 5,000 naskhah Muhammad: Riwayat Hidup Berdasarkan Sumber Terawal cetakan kelapan ditempah khusus pada Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2023.
Pengurus jualan dan pemasaran Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) berkata pihaknya mencetak karya terjemahan Martin Lings atau nama Islamnya Abu Bakar Sirajuddin itu sebanyak 10,000 naskhah untuk dijual di pesta buku antarabangsa siri kedua itu.
“Untuk cetakan ketujuh sebanyak 7,000 naskhah berjaya dijual dan kini dalam proses mencetak edisi seterusnya 10,000 naskhah. Daripada jumlah itu, lebih 5,000 naskhah ditempah dan akan diserahkan kepada pemilik dalam masa terdekat.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/12/mb-500x333.jpg.webp)
“Selain buku Muhammad, buku Abu Bakr as-Siddiq, Saladin, Ihya Ulumuddin dan Umar al-Khattab turut menjadi tarikan pengunjung sepanjang berlangsungnya pesta buku ini,” kata Ainunl Muaiyanah Muhammad Sulaiman kepada Selangorkini.
Beliau turut memaklumkan buku Perang Dunia Pertama dan Kedua edisi kulit tebal turut dijual dan hanya boleh didapati di SIBF 2023.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/12/P_SultanMBSIBF-1-1-500x333.jpg.webp)
SIBS 2023 berlangsung 1 hingga 10 Disember ini di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam, dari jam 9 pagi hingga 9 malam.
Dianjurkan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) pelbagai aktiviti menarik termasuk cabutan bertuah, jualan buku dan diskaun menarik menanti pengunjung.
SIBF julung kali dianjurkan tahun lalu susulan kesinambungan daripada Pesta Buku Selangor yang dianjurkan selama 16 tahun sejak 2006.
Pesta buku itu bermula di Kompleks PKNS dan kemudian bertukar ke Pusat Konvensyen MBSA yang merekod hampir 5 juta pengunjung.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/07/pesta-buku-500x333.jpg.webp)