Apa itu Tasawuf? karya Martin Lings yang diterjemah Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE). Foto SELANGORKINI
BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Karya padat kupas penghayatan ahli sufi tentang tasawuf

Karya Martin Lings mengenai sirah Muhammad: Riwayat Hidup Berdasarkan Sumber Terawal mendapat sambutan hangat sejak diterbitkan pada 2020. Ia muncul buku paling laris sejak Siri Pencerahan Selangor dilancarkan pada 2016.

Sehubungan itu Kerajaan Negeri menerbit satu lagi buku Martin, atau nama Islamnya Abu Bakr Sirajuddin, What is Sufism? dengan judul Apa itu Tasawuf? pada hujung tahun lalu.

Karya yang mencabar fikiran ini dikarang oleh seorang sufi yang ahli dalam bidangnya. Ia memperkatakan tentang tasawuf menurut pandangan dan pengalaman peribadi seseorang yang melalui perjalanan rohani itu.

Penterjemah Dr Khairul Anam CM bersoal jawab dengan wartawan NADIAH ZAMLUS secara bertulis pada 6 April mengenai usaha penterjemahan What is Sufism?

Mengapa memilih karya What is Sufism? untuk terjemahan?

Sebab buku ini memberi tumpuan penuh dalam karya yang cukup padat kepada intipati tasawuf, misalnya tentang mengenal Allah serta hubungan antara Tuhan dan makhluk.

Boleh dikatakan tumpuannya kepada sisi falsafi. Ia berbeza dengan kebanyakan buku tasawuf yang ditulis oleh pengarang kontemporari yang beredar dalam pasaran yang lebih banyak menyentuh aspek amali.

Mengapa pengarang Martin Lings menjadi pilihan?

Martin Lings atau nama Arabnya Abu Bakr Sirajuddin dipilih kerana beliau adalah tokoh yang diakui amat berwibawa dalam bidang tasawuf. Selain itu, nama beliau semakin mendapat perhatian dalam kalangan pembaca di Malaysia berikutan buku riwayat hidup Nabi Muhammad SAW karangannya yang mendapat sambutan hangat sejak terbit edisi bahasa Melayu lebih setahun yang lalu.

Menurut pandangan anda apa isi menarik pada buku tersebut?

Isi paling menarik ialah pokok persoalan atau gejala yang menjadi punca pengarangan buku ini iaitu tasawuf.

Apa itu Tasawuf? karya Martin Lings yang diterjemah Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE). Foto SELANGORKINI

Apakah cabaran yang dihadapi sepanjang usaha menterjemah karya ini?

Cabaran pertama dari segi bahasa. Martin Lings seorang sarjana persuratan Inggeris dan Arab serta pakar dalam kajian karya sastera Shakespeare. Maka dia memiliki gaya prosa Inggeris yang pastinya memberi cabaran kepada seorang penterjemah.

Cabaran dalam erti kata menghasil karya terjemahan yang tidak kurang rendah gaya dan keindahan prosa bahasa Melayunya sebagai memberi penghormatan yang selayaknya kepada penulis asalnya.

What is Sufism? Sebuah karya terpenting dalam persuratan sufi abad ke-20 yang dikarang oleh seorang sufi berketurunan Eropah. Peminat tempatan bagi persuratan jenis ini, mutakhir ini, sudah terbiasa membaca terjemahan karya Arab atau karya asli bahasa Melayu atau Indonesia.

Maka saya fikir sangat berguna sekiranya saya mencabar diri menterjemah sebuah karya tasawuf berasal dari Eropah ini dengan berusaha menggunakan mutu bahasa Melayu lebih tinggi sambil mengimbau gaya pengucapan kalangan sufi alam Melayu beberapa abad silam.

Cabaran kedua datangnya daripada pokok persoalan yang terkandung dalam buku ini dan pengarangnya. Ini sebuah karya yang membincangkan persoalan yang menggugat dan mencabar fikiran, iaitu tasawuf, dan ia dikarang oleh seorang sufi yang ahli.

Dengan lain kata, buku ini memperkatakan tentang tasawuf menurut pandangan dan pengalaman peribadi seorang sufi. Sedangkan kemampuan penterjemah pula hanya terbatas setakat pengetahuan fikri tanpa sebarang pengalaman batin tentang tasawuf.

Setiap terjemahan menuntut tafsiran. Maka kerja menterjemah buku ini lebih mencabar fikiran kerana ia menuntut sejenis tafsiran yang melampaui tafsiran fikiran, yang barangkali boleh digelar tafsiran batin atau akliah.

Apa ilmu baharu yang anda peroleh ketika proses menterjemah karya itu?

Perkara khusus yang saya pelajari dalam usaha menterjemah buku ini tentunya berkisar tentang perasaan dan pengalaman menterjemah dan mentafsir sesuatu yang menuntut lebih daripada sekadar pengetahuan dan kefahaman fikri.

Pengalaman itu bersifat fikiran dan rohani serempak. Dan saya tidak berupaya berkongsi tentangnya di sini kerana ia masih lagi pada tahap awal pengalaman peribadi yang belum diproses menjadi pengetahuan yang tersusun, apatah pula lagi ilmu, untuk dikongsi dan disampaikan kepada orang lain.

Saya fikir, hanya pembaca yang lebih berpengalaman dan arif tentang tasawuf yang berupaya menilai baik atau buruk mutu tafsiran saya itu.

Apa yang boleh saya sebut di sini hanyalah tentang perasaan dan pengalaman saya menterjemah dan mentafsir kandungan buku ini iaitu ‘lazat’.

Adakah mana-mana penulis tempatan yang menghasilkan karya sebaik atau sama hebat dengan Apa itu Tasawuf?

Setakat pembacaan saya yang tidak begitu meluas, saya belum menemui karya khusus tentang tasawuf dalam bahasa Melayu yang dikarang pada abad ke-20 dan ke-21 yang menarik perhatian fikiran saya.

Menurut penilaian akliah saya, kebanyakan yang saya temui tidak mengandungi pengucapan akliah yang canggih malah terperangkap dalam jiwa yang terlalu kemelayuan—sedangkan tasawuf itu bersifat sejagat dan khusus serempak tetapi tidak sekali-kali sempit dan tertawan.

Bahkan gaya dan mutu bahasa pengucapan juga sebagaimana yang telah menjadi kebiasaan dalam kalangan penutur dan penulis amatur zaman ini.

Bagaimanapun, ini hanyalah penilaian peribadi saya semata berdasarkan rasa dan cita akliah saya yang terbentuk daripada latar pendidikan dalam bidang falsafah.

Segala kelemahan yang saya sebut itu tidak sekali-kali menafi atau menurunkan darjat amal ibadat dan penghambaan diri seorang sufi atau seorang makhluk kepada Khalik. Ia bukan pula syarat mengikuti tasawuf harus memiliki fikiran yang canggih.

Berapa lama proses terjemahan?

Saya sentiasa berusaha menghormati dan meraikan permintaan pihak penerbit untuk menyerahkan draf akhir terjemahan dalam masa setahun. Dalam tempoh itu saya telah menghasilkan dua naskhah terjemahan berlainan dan hasil terjemahan yang sampai kepada pembaca itu merupakan naskhah kedua.

Ada atau tidak disebutkan dalam karya ini cara-cara mengenali kaedah tasawuf yang betul atau ‘menyeleweng’?

Sudah tentu penulis menyebut tentang perkara benar dan batil dalam amalan dan pengalaman rohani. Ia salah satu perkara yang mendorong penulis mengarang sebuah buku tentang tasawuf.

Apa pengajaran dalam karya ini yang boleh dijadikan iktibar kepada pembaca?

Banyak pengajaran yang boleh diambil sebagai iktibar dalam buku ini. Pada akhirnya terpulang kepada pembaca.


Pengarang :