Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menerima Anugerah Pengurusan Berkualiti 2023 di Dubai sempena Persidangan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Foto Facebook PKPS
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jualan Ehsan Rahmah dinilai berjaya, PKPS terima pengiktirafan antarabangsa

SHAH ALAM, 16 DIS: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menerima Anugerah Pengurusan Berkualiti 2023 ekoran kejayaan cemerlang termasuk pengendalian program Jualan Ehsan Rahmah (JER).

Ketua pegawai eksekutifnya berkata anugerah diterima di Dubai sempena Persidangan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), membuktikan jualan murah barangan asas mencapai matlamat penganjuran.

Jelas Dr Mohammad Khairil Mohammad Razi, pengiktirafan itu juga turut menilai usaha PKPS mengendalikan isu jaminan bekalan makanan selepas berlakunya penularan Covid-19.

“Saringan dilakukan Persatuan Penyelidikan Berkualiti Eropah yang berpangkalan di Switzerland. Agensi itu menilai semua calon dan memilih PKPS sebagai penerima.

“Menurut mereka, tiada mana-mana negara berjaya melaksanakan program subsidi bersasar ini. Walaupun kecil tetapi berkesan dan ini lebih baik dari program dianjur besar-besaran,” katanya kepada SelangorKini.

Berikutan pengiktirafan bertaraf antarabangsa itu, Mohammad Khairil berkata PKPS akan melipat gandakan lagi usaha dalam merencana strategi mendepani isu bekalan makanan.

“Kita khuatir beberapa isu dunia termasuk geopolitik yang berlaku ketika ini akan memberi kesan kepad keperluan makanan.

“Jadi kita akn terus merancang pelbagai program sebagai langkah bersedia ke arah itu,” katanya.

JER diperkenalkan sejak tahun lalu menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 setiap pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).

Pada 22 September, EXCO Pertanian Ir Izham Hashim berkata Selangor membelanjakan subsidi berjumlah RM40 juta untuk melaksanakan jualan murah di hampir 2,850 lokasi yang memanfaatkan lebih 5 juta rakyat.

Selain menganjurkan jualan murah di lokasi terpilih setiap hari kecuali Jumaat dan cuti umum, PKPS turut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Segi Fresh bagi memperluas capaian kepada penduduk setempat.

Pasar raya itu dilantik sebagai rakan strategik melaksanakan program JER termasuk penyediaan lokasi jualan dan logistik di 55 premis Segi Fresh.

PKPS juga pernah menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri.

Lokasi terkini jualan murah boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan linktr.ee/myPKPS.


Pengarang :