Kempen Beli Barangan Malaysia merupakan inisiatif menyemai semangat patriotisme dalam kalangan rakyat selain mempertingkatkan kepercayaan pengguna terhadap kualiti produk tempatan. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Usaha hapus persepsi barangan Malaysia tidak mewah, bermutu perlu dipertingkat

KUALA LUMPUR, 16 DIS: Usaha bersepadu mempromosi barangan Malaysia perlu ditingkatkan bagi menghapus persepsi sesetengah masyarakat yang melihat produk tempatan tidak membawa imej mewah dan bermutu.

Penganalisis ekonomi Putra Business School Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata pelbagai pihak termasuk kementerian dan agensi kerajaan, industri, dewan perniagaan serta usahawan harus memainkan peranan mewujudkan kempen berkesan mempromosi barangan Malaysia di peringkat tempatan dan antarabangsa.

“Kempen promosi ini harus mengetengahkan aspek keunikan barangan Malaysia bukan sahaja harganya lebih murah namun berkualiti dan bermutu, sekali gus memberi nilai tambah pada simbol status produk tersebut,” katanya kepada Bernama di sini.

Beliau berkata langkah itu mampu memperkasa ekonomi domestik selain membantu perusahaan tempatan menembusi pasaran di peringkat global yang bakal memberikan impak kepada pewujudan peluang pekerjaan dalam kalangan rakyat tempatan selain menggalakkan pertumbuhan ekonomi baharu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika merasmikan Karnival Barangan Malaysia 2023 di Putrajaya pada Khamis lepas, mahu usaha mempromosi barangan Malaysia dipertingkatkan dalam usaha merangsang pertumbuhan ekonomi negara.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata beliau sendiri telah memainkan peranan mempromosi barangan Malaysia antaranya melalui pemakaian batik Malaysia di peringkat antarabangsa.

Sementara itu, pemilik perusahaan Qaseh Batik Shahrul Azam, 42, berkata gesaan Perdana Menteri sejajar dengan perancangan pihaknya untuk meneroka pasaran baharu selepas kejayaan menembusi Brunei baru-baru ini.

“Dalam meningkatkan hasil pendapatan syarikat, kami sentiasa mengintai peluang untuk membawa produk-produk syarikat ke negara luar termasuk di Amerika Tengah melalui pelbagai kerjasama dan pastinya gesaan ini tepat pada masanya untuk merealisasikan hasrat berkenaan,” katanya.

Diusahakan sejak 2016 di Kota Bahru, Kelantan, Qaseh Butik setakat ini mengeluarkan 10 produk pakaian antaranya kaftan, baju kurung, baju kemeja dan jubah yang dijual dengan harga RM30 hingga RM300 di pasaran tempatan.

Bagi usahawan sambal Surya Watie Salleh, 43, usaha mempromosikan produk tempatan khususnya milik perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) memerlukan kerjasama semua pihak dan tidak boleh hanya bersandarkan kepada pengusaha sahaja.

“Terutama untuk jenama baharu, kadang-kadang kami tidak mempunyai dana besar untuk mempergiatkan usaha promosi, jadi terpaksa menggunakan kaedah ‘mulut ke mulut’ dan platform media sosial bagi menyebarkan keunikan produk kepada pelanggan.

“Pada masa sama, aspek kualiti produk tetap dijaga agar lebih ramai yang berasa yakin menjadi pelanggan kami,” katanya yang mengeluarkan kira-kira 300 hingga 400 balang Sambal Ikan Talang Tok Baqq setiap hari untuk dipasarkan ke pasaran tempatan dan Singapura.

– BERNAMA


Pengarang :