Orang ramai berbelanja pada Jualan Ehsan Rahmah (JER) di pasar raya Segi Fresh Teluk Panglima Garang pada 30 September 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Jualan murah barangan asas di Segi Fresh cawangan Kuala Selangor, Gombak esok

SHAH ALAM, 16 DIS: Program jualan murah kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dengan kerjasama pasar raya Segi Fresh diteruskan ke dua lokasi, esok.

Jualan Ehsan Rahmah (JER) yang menawarkan barangan asas antaranya ayam, ikan, daging kiub, sayur-sayuran dan minyak masak diadakan di Segi Fresh cawangan Kuala Selangor dan Gombak.

“Kami bekerjasama dengan PKPS dan KPDN Selangor untuk meringankan beban komuniti setempat terutamanya golongan B40. Dapatkan keperluan harian dengan harga berpatutan, produk berkualiti dan barang basah yang segar,” maklum Segi Fresh di Facebook.

Jualan murah itu sebahagian daripada memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai antara PKPS dan Segi Fresh, Julai lalu bagi memperluas capaian kepada penduduk setempat.

Selain bekerjasama dengan Segi Fresh, PKPS turut menganjurkan jualan murah di lokasi terpilih seluruh negeri pada setiap hari kecuali Jumaat dan cuti umum.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM13).

PKPS juga pernah menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri.

Tebaru, PKPS menerima Anugerah Pengurusan Berkualiti 2023 peringkat antarabangsa berikutan kejayaan cemerlang termasuk pengendalian program JER.

Pada 22 September, EXCO Pertanian Ir Izham Hashim berkata Selangor membelanjakan subsidi berjumlah RM40 juta untuk melaksanakan jualan murah di hampir 2,850 lokasi yang memanfaatkan lebih 5 juta rakyat.

Mulai 2022, Kerajaan Negeri melancarkan program jualan murah, lanjutan Program Agro Prihatin Selangor yang diperkenal pada 2 Jun 2021 menerusi Pakej Kita Selangor 2.0. Ia bertujuan mengatasi lambakan hasil tani akibat pandemik Covid-19.

Program itu dijenamakan sebagai Jualan Prihatin Rakyat pada 28 Februari 2022. Pelaksanaannya dilanjutkan sehingga Julai 2022. Pada 30 Ogos 2022, ia diumumkan pula sebagai Jualan Ehsan Rakyat.

Ia kemudian ditukar kepada Jualan Ehsan Rahmah selepas PKPS bekerjasama dengan  Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Lokasi terkini jualan murah boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan linktr.ee/myPKPS.

 


Pengarang :