DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan meninjau Jualan Ehsan Rahmah bersama Segi Fresh cawangan Telok Panglima Garang, Kuala Langat pada 30 September 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Jualan murah di enam cawangan Segi Fresh hujung minggu ini

SHAH ALAM, 13 DIS: Jualan Ehsan Rahmah (JER) dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) akan berlangsung di enam cawangan pasaraya Segi Fresh pada hujung minggu ini.

Menurut Facebook Segi Fresh, jualan barangan dapur pada harga murah diadakan di cawangan Bandar Tasik Puteri, Puncak Alam, Pekan Salak dan Pulau Indah pada Sabtu.

Selain selepas itu, JER Kasih Sayang Segi Fresh pula dijadual berlangsung di cawangan Kuala Selangor dan Gombak.

“Bersama PKPS, kami bekerjasama dalam misi memberikan manfaat kepada yang memerlukan terutama golongan berpendapatan rendah berikutan kenaikan kos sara hidup.

“Dapatkan barangan keperluan asas yang murah dan berkualiti di Segi Fresh,” katanya.

Produk ditawarkan antaranya ayam mentah RM6.99 sekilogram, daging kiub (RM10/pek), siakap (RM7 seekor), telur gred D (RM10 sepapan), tepung gandum (RM2/pek) dan minyak masak 5kg (RM25).

Kerajaan Selangor membelanjakan subsidi RM40 juta untuk melaksanakan jualan murah di 2,850 lokasi yang memanfaatkan lebih lima juta rakyat sehingga kini.

Selain menganjurkan jualan murah di lokasi terpilih pada setiap hari kecuali Jumaat dan cuti umum, PKPS turut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Segi Fresh bagi memperluas capaian kepada penduduk setempat.

PKPS juga pernah menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri.

Lokasi terkini jualan murah boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan linktr.ee/myPKPS.


Pengarang :