Orang ramai membeli barangan ketika Jualan Ehsan Rahmah DUN Seri Setia di Surau Al Muhajirin PPRT Lembah Subang 2 pada 16 Disember 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Jualan murah, DUN Seri Setia sasar anjur program di serata kawasan tahun depan

SUBANG JAYA, 16 DIS: Jualan Ehsan Rahmah (JER) yang menawarkan jualan barangan asas pada harga murah bakal diperluas ke seluruh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia tahun depan.

Pegawai khas kepada wakil rakyatnya Mohammad Azli Jamaasim berkata usaha itu bagi memastikan tiada penduduk khususnya golongan kurang berkemampuan terlepas daripada menikmati manfaat tersebut.

Pegawai Khas Dun Seri Setia Mohammad Azli Jamaasim. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Beliau menjelaskan sebelum ini, jualan kelolaan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) hanya menumpukan kawasan tertentu yang mempunyai ramai keluarga berpendapatan rendah (B40) seperti Projek Perumahan Rakyat (PPR).

“Cadangan untuk memperluas program ini sudah diajukan YB (Dr Fahmi Ngah) kepada PKPS. Pihak terbabit menyambut baik perkara ini bertepatan usaha Kerajaan Selangor untuk terus membantu rakyat susah.

“Jadi kita akan bawa (JER) ke setiap kawasan Seri Setia mengikut tarikh dan masa ditetapkan pihak berkenaan,” katanya ditemui pada program JER di PPR Lembah Subang 2 di sini hari ini.

Diperkenalkan sejak tahun lalu, JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 setiap pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).

Pada 22 September, EXCO Pertanian Ir Izham Hashim berkata Selangor membelanjakan subsidi berjumlah RM40 juta untuk melaksanakan jualan murah di hampir 2,850 lokasi yang memanfaatkan lebih 5 juta rakyat.

Selain menganjurkan jualan murah di lokasi terpilih setiap hari kecuali Jumaat dan cuti umum, PKPS turut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Segi Fresh bagi memperluas capaian kepada penduduk setempat.

Terbaharu, PKPS menerima Anugerah Pengurusan Berkualiti 2023 ekoran kejayaan cemerlang termasuk pengendalian program JER selain diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri.

Lokasi terkini jualan murah boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan linktr.ee/myPKPS.

Orang ramai membeli barangan ketika Jualan Ehsan Rahmah DUN Seri Setia di Surau Al Muhajirin PPRT Lembah Subang 2 pada 16 Disember 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
Orang ramai membeli barangan ketika Jualan Ehsan Rahmah DUN Seri Setia di Surau Al Muhajirin PPRT Lembah Subang 2 pada 16 Disember 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Pengarang :