PETALING JAYA, 17 DIS: Seramai 350 peserta tempatan dan antarabangsa menyertai Pertandingan Kebangsaan Larian Menara Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) 2023 di sini, hari ini.
Saingan julung kali itu menyediakan cabaran larian sebanyak 552 anak tangga dengan ketinggian keseluruhan 80 meter yang perlu ditamatkan setiap peserta.
Majlis pelepasan peserta disempurnakan Timbalan Setiausaha (Pembangunan) MBPJ Ir Ismail Shafie dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Lee Chean Chung.

Menurut Ir Ismail pertandingan larian menara semakin mendapat tempat di negara ini, khususnya dalam kalangan individu yang mementingkan gaya hidup sihat.
“Sebelum ini, kesedaran untuk bidang sukan ini agak kurang dan ada yang tidak berani mencuba larian tangga kerana mereka tidak memahami teknik yang betul.
“Program ini memberi kesempatan kepada MBPJ untuk mempromosikannya selain kami turut menganjurkan bengkel larian tangga di Menara MBPJ setiap Sabtu petang,” katanya ketika berucap.
Penganjuran bersama Persatuan Larian Menara Malaysia (PLMM) itu menyediakan pelbagai hadiah menarik berupa wang tunai dan plak cenderamata selain peserta turut dilindungi dengan perlindungan insurans.
Acara yang bermula jam 7 pagi itu turut diserikan dengan pameran gerai jualan, aktiviti riadah dan santai serta program Jualan Ehsan Rahmah (JER).