Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bergambar bersama pemenang bagi pusingan akhir Liga Usahawan OKU Malaysia di Sunway Putra Hotel Kuala Lumpur pada 27 Julai 2023. Foto MOHD ARIF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Raja Muda perkasa peranan belia serantau, kembang bakat usahawan baharu

Oleh NAZLI IBRAHIM

Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah diiktiraf sebagai pemimpin yang giat memperkasa peranan belia dari peringkat negeri hingga ke tahap Asia Tenggara.

Sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) pula, Baginda membawa negeri layak beraksi di pentas Asia buat pertama kali dalam tujuh tahun.

Pada 3 November, Tengku Amir Shah diberi penghormatan dalam Persidangan Belia Asean 2023 di Jakarta, Indonesia mempersembah ucaptama dengan menyentuh pelbagai isu belia serantau.

Dalam titah bertajuk ‘Mencipta Perubahan yang Mampan untuk Rantau Asean’, Baginda memberi penekanan kepada peri pentingnya anak muda dilibatkan dalam penggubalan dasar.

“Suara belia perlu didengar dan aspirasi mereka diterjemah kepada tindakan nyata. Hal ini akan menggalakkan kewarganegaraan aktif di mana golongan muda bukan sahaja menjadi penerima manfaat, malah terlibat aktif dalam melakukan perubahan positif,” titah Baginda.

Persidangan tahunan itu dihadiri 150 perwakilan belia 15 negara antaranya Indonesia, Thailand dan Brunei bagi berbincang isu ekonomi, pendidikan, keamanan, kebudayaan dan kebajikan.

Selain itu, Baginda memangkin usaha melonjakkan prestasi bola sepak negeri hingga ke peringkat Asia apabila Selangor FC layak memenuhi slot Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL 2) setelah menduduki tempat kedua Liga Super musim ini.

Skuad kendalian jurulatih Tan Cheng Hoe menewaskan Kedah hasil jaringan tunggal Ayron Del Valle Rodriguez pada 2 Disember. Meski berbaki satu perlawanan, Selangor FC mengesahkan kedudukan sebagai naib juara.

Detik bersejarah di Stadium Darul Aman itu disaksikan Baginda, bahkan Tengku Amir Shah turut menaiki bas dari Shah Alam ke Negeri Jelapang Padi.

“Ini adalah permulaan baharu buat Selangor FC biarpun saya menyedari pelbagai cabaran yang bakal menghambat akan datang selepas mengesahkan slot ke pentas Asia 2024,” titah Baginda selepas pencapaian manis itu.

Tengku Amir Shah juga bekerjasama dengan pelbagai pihak bagi membantu belia dalam bidang keusahawanan atau yang berdepan kesukaran dalam aspek kerjaya, latihan kemahiran dan pendidikan.

Keusahawanan

Pada 1 Februari, Baginda yang juga Penaung Diraja Komuniti Belia Selangor (SAY) itu bersua Raja Charles III di Istana Buckingham, United Kingdom hasil kerjasama SAY dan Prince’s Trust International (PTI) sejak tiga tahun lalu.

Baginda turut menganjurkan majlis minum petang di UK bagi meraih dana di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London pada 14 September selain berangkat ke Kejohanan Golf Amal Raja Muda Selangor pada 21 November atas tujuan sama.

Diilham oleh Baginda, SAY membangunkan belia dalam bidang keusahawanan melalui program Liga Usahawan Wanita dan SAY ASPIRE selain menggembleng usaha dalam bidang sukan, seni, kebudayaan dan khidmat kemasyarakatan.

Seramai 31 penggiat industri mikro, kecil dan sederhana (IMKS) berorentasi eksport menyertai program pembangunan anjuran SAY ASPIRE.

Program pada 5 Februari itu membantu belia mengembangkan produk dan perkhidmatan ke pasaran global melalui kursus bimbingan dan latihan strategi eksport.

SAY ASPIRE yang diwujudkan sejak 2018 merangkumi latihan kewangan, strategi pemasaran serta perancangan strategik untuk menembusi pasaran luar negara.

Liga Usahawan Wanita pula membantu kaum Hawa berpendapatan bawah RM3,600, asnaf dan ibu tunggal untuk menjana pendapatan. Program percuma itu membantu mereka membina kemahiran, ilmu dan sumber.

Seramai 100 wanita menyertai seminar Usahawan Wanita Selangor pada 12 April supaya mereka berupaya menjana pendapatan melalui perniagaan.

Liga Usahawan OKU Selangor pula memberi peluang kepada golongan tersebut untuk mengembangkan perniagaan menerusi pasaran baharu, pendigitalan dan pasaran eksport.

 


Pengarang :