EXCO Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna Datuk Rizam Ismail berucap ketika majlis perasmian Karnival Ban Canal 2023 di Parit 14, Sabak Bernam pada 10 Disember 2023. Foto: FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Setiap projek pembangunan Sabak Bernam dikaji, jamin limpahan ekonomi setempat

SABAK BERNAM, 10 DIS: Kerajaan Negeri membangunkan pelan tindakan untuk mengkaji kesesuaian setiap projek di bawah Pembangunan Kawasan Sabak Bernam (SABDA) serta manfaat yang diterima rakyat.

EXCO kemajuan desa berkata pembangunan di kawasan tersebut perlu dilaksanakan secara tersusun bagi menjamin limpahan ekonomi kepada penduduk setempat tanpa meminggirkan kelestarian alam sekitar.

“Satu pelan tindakan dibangunkan dengan mengambil kira kajian kebolehlaksanaan atau kesesuaian segala projek dan inisiatif yang telah dan bakal direncana dalam projek berkenaan.

“Hanya projek dan inisiatif yang benar-benar mempunyai prospek dan manfaat menyeluruh akan dipilih untuk dilaksanakan dalam SABDA.

“Hal ini penting supaya segala projek memberi nilai tambah kepada agenda pembangunan negeri dan menjamin limpahan ekonomi setempat tanpa meminggirkan prinsip alam sekitar, kelestarian dan tadbir urus yang baik,” kata Datuk Rizam Ismail.

Beliau yang juga pengerusi SABDA berucap sempena Karnival Ban Canal 2023 yang dirasmikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di Parit 14, Simpang Lima di sini, hari ini.

Melibatkan pembangunan tanah seluas 1,317 hektar, SABDA merangkumi enam projek utama antaranya Smart Selangor Agro Park di Changkat Menteri, Pusat Perikanan berteknologi tinggi di Sekinchan dan Pusat Perniagaan Air Manis.

Projek pembangunan yang terkandung dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1) turut membuka banyak peluang pekerjaan bergaji tinggi.

Dalam perkembangan lain, Rizam yang juga Ahli Dewan Negeri Sungai Air Tawar berharap Dato’ Menteri Besar dapat mempertimbang agar Sungai Air Tawar dibangunkan dan dijenamakan sebagai pusat pelancongan kampung tradisi.

“Ini akan menjadi projek rintis dan rentas sektoral di dalam mengangkat nilai sejarah dan budaya kampung tradisi sebagai salah satu tarikan pelancongan budaya.

“Saya juga berharap agar Tourism Selangor dapat terus memberi perhatian khas untuk meningkatkan promosi inap desa, kawasan tarikan pelancongan, budaya serta makanan unik di Sabak Bernam ini menerusi kempen “Nak Bercuti? Pusing Selangor Dulu!”,” katanya.


Pengarang :