Pengerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) Syed Ibrahim Syed Noh (lima, kiri) melawat reruai MDEC pada program Jelajah Saya Digital @ Selangor 2023 di Dewan Dato’ Ahmad Razali, Ampang Jaya pada 17 Disember 2023. Turut sama ADN Bukit Antarabangsa Mohd Kamri Kamaruddin (empat, kanan) dan ADN Lembah Jaya Syed Ahmad Abdul Rahman Alhadad (kiri). Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Usahawan digalak sertai program tingkat kemahiran digital, kembang niaga

AMPANG JAYA, 17 DIS: Peniaga dan usahawan Selangor digalak menyertai program pemberdayaan kemahiran digital bagi meningkatkan kebolehan sekali gus mengembangkan perniagaan masing-masing.

EXCO pembudayaan inovasi berkata 3,300 warga Selangor menyertai program Jelajah Saya Digital (JSD) anjuran Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (Mdec) sejak tahun lalu.

Daripada jumlah itu, Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata seramai 547 peserta menguasai kemahiran digital sehingga mampu meningkatkan jualan dan meraih pendapatan tinggi.

“Terima kasih kepada Mdec kerana membantu anak Selangor dan kejayaan mereka harus dijadikan contoh kepada semua terutama usahawan lain agar dapat meningkatkan ekonomi isi rumah dan menjana ekonomi negeri secara keseluruhannya,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan Pegawai Dasar kepada EXCO Pembudayaan Inovasi Ya Asrul Yaman Kijas pada majlis perasmian Jelajah Saya Digital@Selangor 2023.

Bertempat di Dewan Dato’ Ahmad Razali di sini, majlis perasmian disempurnakan Pengerusi Mdec Syed Ibrahim Syed Noh.

Pengerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) Syed Ibrahim Syed Noh (dua, kanan) merasmikan Jelajah Saya Digital @ Selangor 2023 di Dewan Dato’ Ahmad Razali, Ampang Jaya pada 17 Disember 2023. Turut sama ADN Bukit Antarabangsa Mohd Kamri Kamaruddin (dua, kiri), ADN Lembah Jaya Syed Ahmad Abdul Rahman Alhadad (kanan) dan Pegawai Dasar kepada EXCO Pembudayaan Sains, Teknologi, Inovasi dan Infrastruktur Digital, Ya Asrul Yaman Kijas..Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Dr Mohammad Fahmi menambah, bagi memacu masyarakat digital, JSD menyasarkan penglibatan golongan B40, belia, usahawan, peniaga kecil dan sederhana serta warga emas.

“Ia akan dapat meningkatkan kesedaran rakyat dalam teknologi digital, menikmati gaya hidup pintar dan mendapat peluang sama rata bukan saja kepada masyarakat di bandar malah di luar bandar,” katanya.

JSD adalah sebahagian daripada Kempen Saya Digital yang diperkenalkan Mdec sejak Ogos 2021 bagi membantu meningkatkan kemahiran digital dalam kalangan rakyat dan memupuk kesedaran ramai memperkasa ekosistem ekonomi digital.

Antara program yang disediakan Mdec menerusi JSD adalah program eUsahawan, eRezeki dan Global Online Workforce (GLOW).

Pengerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) Syed Ibrahim Syed Noh (empat, kiri) melawat reruai pada program Jelajah Saya Digital @ Selangor 2023 di Dewan Dato’ Ahmad Razali, Ampang Jaya pada 17 Disember 2023. Turut sama Pegawai Dasar kepada EXCO Pembudayaan Sains, Teknologi, Inovasi dan Infrastruktur Digital, Ya Asrul Yaman Kijas (kiri). Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Pengarang :