AGENDAJENAYAH

17 penumpang, dua pemandu terselamat, bas ekspres dua tingkat terbakar

IPOH, 19 JAN: 17 penumpang dan dua pemandu berdepan detik cemas apabila bas ekspres dua tingkat yang dinaiki terbakar di KM 375.4 Lebuhraya Utara Selatan (Plus) arah utara dekat Tanjung Malim pagi tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sayani Saidon berkata Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Slim River menerima panggilan pada 5.19 pagi dan sampai di lokasi kejadian kira-kira 20 minit kemudian dengan bantuan BBP Tanjung Malim.

Beliau berkata setibanya di lokasi, bas ekspres yang membawa 17 penumpang iaitu 14 lelaki dan tiga wanita itu terbakar kira-kira 80 peratus.

“Kesemua penumpang berjaya keluar dari bas sebelum kebakaran merebak. Semua penumpang tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sayani berkata operasi tamat 7.23 pagi tadi dan difahamkan bas itu dalam perjalanan membawa penumpang dari Mersing, Johor ke Kangar, Perlis.

– BERNAMA


Pengarang :