775 cerucuk sudah dipasang dan longkang utama akan dibina di Jalan Wawasan, Taman Wawasan, Puchong selepas kejadian tanah runtuh di kawasan itu pada 16 Disember 2023. Foto Facebook Ng Sze Han
PBTSELANGOR

Kerja stabil tanah runtuh Taman Wawasan dijangka siap Julai ini

SUBANG JAYA, 19 JAN: Kerja penstabilan sementara di Jalan Wawasan, Taman Wawasan, Puchong dijangka selesai sepenuhnya pada Julai, kata datuk bandar Subang Jaya.

Dato’ Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata setakat ini fasa pemasangan cerucuk telah selesai dan kerja pembaikan longkang utama (monsoon drain) sedang giat dijalankan.

“Fokus pertama iaitu memastikan struktur rumah terbabit tidak terjejas berjaya dibuat dengan pemasangan cerucuk. Kini fasa seterusnya penyambungan longkang utama yang terputus dan mengakibatkan banjir giat dijalankan.

“Kontraktor berusaha menyambung longkang utama bagi memastikan tidak berlaku banjir. Proses pembaikan ini ambil masa enam bulan, dijangka selesai sepenuhnya pada Julai,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis angkat sumpah 23 ahli majlis MBSJ termasuk enam lantikan baharu di ibu pejabat MBSJ di sini, semalam.

Baru-baru ini, Ahli Dewan Negeri Kinrara Ng Sze Han berkata 775 cerucuk siap dipasang bagi memastikan kestabilan cerun.

Pada 16 Disember, seramai 29 penghuni di sembilan rumah teres kawasan berkenaan diarah berpindah atas faktor keselamatan, susulan kejadian tanah runtuh berhampiran kediaman mereka.

Kejadian tanah runtuh yang berlaku di Jalan Wawasan 3/9 dan 3/14 kira-kira 7.30 malam itu turut menyebabkan empat kenderaan tertimbus namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.


Pengarang :