Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli barangan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran sempena Jualan Ehsan Rahmah (JER) DUN Lembah Jaya di Perkarangan Dewan Orang Ramai Taman Ampang Indah, Ampang Jaya pada 19 Jun 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

JER bantu B40, warga emas berjimat, tampung kos sara hidup

AMPANG JAYA, 27 JAN: Program Jualan Ehsan Rahmah (JER) kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) membantu rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah (B40) berjimat.

Perkara itu diakui Jenny Tan, 53, yang dapat berjimat hingga 50 peratus berbanding berbelanja di pasaran luar dan wang berkenaan digunakannya untuk menampung kos sara hidup yang semakin tinggi.

Jenny Tan, 53,

“Ekonomi pada masa kini sangat mencabar terutamanya golongan B40, jadi program ini sangat membantu meringankan kesan kos sara hidup tinggi.

“Ini kali kedua saya hadir, dapat berjimat 50 peratus berbanding beli di luar. Saya harap lebih kerap diadakan terutama musim perayaan Tahun Baru Cina tidak lama lagi,” katanya.

Jenny antara 400 pengunjung JER peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya di Taman Dagang Jaya di sini hari ini.

Sementara itu, Sazizah Abdullah, 64, turut memuji inisiatif Kerajaan Negeri yang terus menganjurkan jualan murah bagi memastikan lebih ramai penduduk mendapat manfaat.

Sazizah Abdullah, 64,

“Jualan murah itu sangat membantu meringankan beban penduduk terutamanya golongan warga emas seperti saya yang tidak mempunyai pendapatan tetap,” katanya.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 setiap pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).

Sebelum ini, PKPS memaklumkan JER dijadual berlangsung di lebih 1,800 lokasi tahun ini, tidak termasuk program jualan murah di beberapa cawangan pasar raya Segi Fresh pada hujung minggu.

Tahun lalu PKPS menerima Anugerah Pengurusan Berkualiti 2023 berikutan kejayaan cemerlang termasuk pengendalian program JER.

Agensi itu turut diiktiraf Malaysia Book Records( MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar sempena Aidilfitri.

Lokasi terkini jualan murah boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan http://linktr.ee/myPKPS


Pengarang :