Oleh NAS NORZIELA NASBAH
SHAH ALAM, 21 JAN: Program Jualan Ehsan Rahmah (JER) memudahkan penduduk khususnya golongan berpendapatan rendah (B40) dan warga emas mendapatkan keperluan asas.
Penghantar barang Mahathir Mohd Hilal, 42, bersyukur kerana berpeluang berbelanja di jualan murah kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) itu.
“Golongan berpendapatan rendah seperti saya sangat memerlukan jualan murah seperti ini kerana tawaran harga murah dan produk berkualiti.
“Beras berkualiti dijual RM13, ia mengurangkan perbelanjaan kami sekeluarga,” katanya ditemui dalam program JER DUN Batu Tiga di Masjid Al-Ubudiyyah Seksyen 19, di sini hari ini.
Bagi Nurhaslinda Jailan, 24, dia yang berbelanja untuk kali pertama di JER sangat membantu terutama memberi penjimatan.
“Saya duduk di asrama kerana keluarga tinggal di Johor.
“Perbelanjaan perlu dilakukan secara berhemah, saya lega kerana dapat berjimat kerana berbelanja keperluan asas tidak sampai RM100,” katanya.
Warga emas, Nor Liza Abu Kassim, 65, berkata jualan murah itu dapat mengurangkan bebannya yang tidak mempunyai pendapatan tetap.
“Apabila adanya jualan murah ini di sekitar rumah saya tidak ketinggalan membeli keperluan asas walaupun terpaksa menumpang kereta jiran.
“Asalkan dapat beli barang murah saya sangat lega. Sekurang-kurangnya perbelanjaan keperluan asas seperti telur, beras dan ayam sudah ada di rumah untuk seminggu,” katanya.
JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM13).
Selain menganjurkan JER di lokasi terpilih setiap hari kecuali Jumaat dan cuti umum, PKPS turut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Segi Fresh bagi memperluas capaian kepada penduduk setempat.
Sebelum ini, PKPS memaklumkan JER dijadual berlangsung di lebih 1,800 lokasi tahun ini, tidak termasuk program jualan murah di beberapa cawangan pasar raya Segi Fresh pada hujung minggu.
Tahun lalu PKPS menerima Anugerah Pengurusan Berkualiti 2023 berikutan kejayaan cemerlang termasuk pengendalian program JER.
Agensi itu turut diiktiraf Malaysia Book Records( MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar sempena Aidilfitri.
Lokasi terkini jualan murah boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan http://linktr.ee/myPKPS