Orang ramai membeli barangan asas murah sempena Jualan Ehsan Rahmah peringkat DUN Kota Damansara di tapak Pasar Tani Kampung Melayu Subang pada 2 Oktober 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Kunjungi jualan murah di 13 lokasi termasuk Segi Fresh hujung minggu ini

SHAH ALAM, 19 JAN: Program Jualan Ehsan Rahmah (JER) kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) diteruskan ke lapan lokasi pada hujung minggu ini.

Bermula 10 pagi, jualan murah diadakan esok di Tapak Ruangan Lapang Jalan BK4/1 (Kinrara), Laman Niaga Ampang Waterfront (Lembah Jaya), Taman Sri Muda (Kota Kemuning) dan Masjid Kampung Pasir Baru (Semenyih).

Sementara pada Ahad di depan 99 Speedmart 1414 Jalan Tepi Sungai (Bandar Baru Klang), Dewan Orang Ramai Ampang Mewah (Lembah Jaya), Masjid Ubudiyyah, Seksyen 9 (Batu 3) dan Surau Ar Raudhah, Saujana Impian (Kajang).

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 setiap pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).

Selain itu, orang ramai juga boleh mendapatkan aneka keperluan berkualiti pada harga murah dengan mengunjungi lima Pasaraya Segi Fresh iaitu cawangan Ara Damansara dan Pandamaran (Sabtu) selain cawangan Saujana Utama, Sungai Besar dan Tanjung Karang (Ahad).

Produk ditawarkan antaranya ayam mentah RM7.49 sekilogram, daging kiub (RM10/pek), siakap (RM7 seekor), telur gred D (RM10 sepapan), tepung gandum (RM2/pek) dan minyak masak 5kg (RM25).

Sebelum ini, PKPS memaklumkan JER dijadual berlangsung di lebih 1,800 lokasi tahun ini, tidak termasuk program jualan murah di beberapa cawangan pasaraya Segi Fresh pada hujung minggu.

Tahun lalu PKPS menerima Anugerah Pengurusan Berkualiti 2023 berikutan kejayaan cemerlang termasuk pengendalian program JER.

Agensi itu turut diiktiraf Malaysia Book Records( MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar sempena Aidilfitri.

Lokasi terkini jualan murah boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan http://linktr.ee/myPKPS

 


Pengarang :