Orang ramai membeli barangan keperluan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran pada program Jualan Ehsan Rahmah DUN Balakong di Kampung Jambu, Kajang pada 23 Disember 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Program jualan murah barangan asas kendalian PKPS bermula 15 Januari

SHAH ALAM, 3 JAN: Program Jualan Ehsan Rahmah (JER) kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) akan bermula 15 Januari ini.

“JER akan kembali pada 15 Januari, kami berehat seketika untuk selenggara trak dan susun bekalan. Selamat Menyambut Tahun Baharu 2024,” maklum agensi itu di Facebook.

Jualan itu menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 setiap pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).

Semalam, PKPS berkata meneruskan program jualan murah barangan asas akan diakan di lebih 1,800 lokasi seluruh negeri pada tahun ini.

Pengurus Kanan Pemasarannya Md Fazir Abdul Latif berkata lokasi tersebut tidak termasuk dengan program jualan murah barangan asas di beberapa cawangan pasar raya Segi fresh pada hujung minggu.

Sebelum ini, PKPS menerima Anugerah Pengurusan Berkualiti 2023 berikutan kejayaan cemerlang termasuk pengendalian program JER. Agensi itu turut diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar sempena Aidilfitri.

Mulai 2022, Kerajaan Negeri melancarkan program jualan murah, lanjutan Program Agro Prihatin Selangor yang diperkenal pada 2 Jun 2021 menerusi Pakej Kita Selangor 2.0. Ia bertujuan mengatasi lambakan hasil tani akibat pandemik Covid-19.

Program itu dijenamakan sebagai Jualan Prihatin Rakyat pada 28 Februari 2022. Pelaksanaannya dilanjutkan sehingga Julai 2022. Pada 30 Ogos 2022, ia diumumkan pula sebagai Jualan Ehsan Rakyat.

Ia kemudian ditukar kepada Jualan Ehsan Rahmah selepas PKPS bekerjasama dengan KPDNKS.


Pengarang :