Wakil rakyat Sungai Pelek Lwi Kian Keong mahu tingkatkan produk pelancongan agro serta menjadikan kawasan itu destinasi wajib dikunjungi pelancong di Selangor. Foto Facebook Lwi Kian Keong
ADNSELANGOR

Tumpu promosi pelancongan agro, sasar Sungai Pelek destinasi wajib dikunjungi

Oleh NAS NORZIELA NASBAH

SHAH ALAM, 6 JAN: Wakil rakyat Sungai Pelek terus berusaha menunaikan lima janji utamanya dalam memastikan penduduk kawasan itu menerima manfaat lebih baik pada masa hadapan.

Ini termasuklah tumpuan meningkatkan promosi produk pelancongan agro Sungai Pelek seperti ladang buah naga selain pusat peranginan Avani Goldcoast.

“Kita tidak mahu terlalu selesa dengan maklumat sedia ada sebaliknya terus bekerja kuat membawa nama Sungai Pelek sebagai destinasi ‘wajib dikunjungi’ jika berada di Selangor.

“Ini termasuklah perancangan untuk membuka kaunter maklumat di pintu masuk negara bukan sahaja mempromosikan Sungai Pelek tetapi seluruh Selangor yang sememangnya mempunyai pelbagai keunikan produk pelancongan tersendiri,” kata Lwi Kian Keong.

Lima janji utama Kian Keong pada pilihan raya negeri (PRN) Ogos lalu antaranya meningkatkan sumber pendapatan dan ekonomi penduduk Sungai Pelek.

Beliau berkata menjadi harapan besar untuknya melihat penduduk dapat menjana pendapatan selain meningkatkan taraf hidup mereka.

Pada masa sama, Kian Keong turut menjelaskan pihaknya akan menaik taraf infrastruktur seperti jalan raya dan menyelesaikan masalah banjir yang berlaku di kawasan itu.

“Kita juga mengalu-alukan peruntukan dana untuk menangani isu ini segera.

“Apa yang lebih penting, pengundi telah memberi kepercayaan kepada saya untuk mengemudi Sungai Pelek dan perancangan suku awal tahun ini akan terus diberi tumpuan untuk manfaat penduduk tempatan,” katanya.


Pengarang :