Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan cek cura, sijil serta piala kepada wakil Melody Corporation House Sdn Bhd yang menerima Anugerah Industri Perkhidmatan pada majlis Anugerah Usahawan PKNS 2023 di Pusat Konvensyen Shah Alam pada 31 Januari 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

12 usahawan bimbingan PKNS diiktiraf, pacu sektor keusahawanan

SHAH ALAM, 1 FEB: Seramai 12 usahawan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menerima pengiktirafan dan penganugerahan atas pencapaian dan kecemerlangan masing-masing dalam bidang keusahawanan.

Penganugerahan disampaikan pada majlis Anugerah Usahawan PKNS 2023 di Pusat Konvensyen Shah Alam disempurnakan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari semalam.

Anugerah berkenaan bagi mengiktiraf usahawan yang dibimbing PKNS selain turut memberi penghormatan kepada agensi keusahawanan yang bekerjasama dalam usaha memacu sektor keusahawanan.

Anugerah kepada usahawan membabitkan tiga kategori iaitu Anugerah Khas (Anugerah Usahawan Gemilang SELBIZ 2023) dan Anugerah Program Bermodul PKNS (Anugerah Usahawan Terbaik BIZUP, GROW dan GROW PLUS).

Selain itu kategori Anugerah Cemerlang adalah anugerah usahawan PKNS (luar Selangor), anugerah industri makanan/minuman (pembuatan), anugerah industri makanan/minuman (perkhidmatan), anugerah industri perkhidmatan, anugerah industri peruncitan, anugerah industri pembuatan, anugerah usahawan global (eksport) dan anugerah usahawan premium.

Amirudin ketika menyampaikan ucapan perasmian berkata sejak 60 tahun penubuhannya PKNS berjaya menempa pelbagai kejayaan termasuk menyediakan ekosistem keusahawanan yang tersusun.

“Walaupun berdepan cabaran merumitkan termasuk pandemik Covid-19, PKNS terus di landasan betul dan kekal sebagai perbadanan ekonomi nombor satu di Malaysia.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berucap pada majlis Anugerah Usahawan PKNS 2023 di Pusat Konvensyen Shah Alam pada 31 Januari 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Program yang dilaksanakan sekian lama tidak hanya tertumpu kepada pembangunan dan perbandaran saja, tetapi juga melengkapkan keperluan sokongan keusahawanan dan perniagaan,” katanya.

Berikut senarai pemenang malam Anugerah Usahawan PKNS 2023:

  • Anugerah Usahawan Gemilang SELBIZ 2023: Robiatul Adawiyyah Ibrahim (usahawan syarikat Rabi Sugarflour Cafe’ Ent)
  • Anugerah Usahawan Terbaik Bizup 2023: Siti Suraya Shariff (usahawan syarikat Sorrellicious Legacy)
  • Anugerah Usahawan Terbaik GROW 2023: Nur Asiah Kuzaiman (usahawan syarikat Asiah Kuzaiman Enterprise)
  • Anugerah Usahawan Terbaik GROW PLUS 2023: Yazmeen Anshary (usahawan syarikat Avantcom International Sdn Bhd)
  • Anugerah Usahawan PKNS (Luar Selangor): Sparkles Group Sdn Bhd dari Johor
  • Anugerah Industri Makanan/Minuman (Pembuatan): DNA Herbal Industries Sdn Bhd
  • Anugerah Industri Makanan/Minuman (Perkhidmatan): Jaqued Holdings Sdn Bhd
  • Anugerah Industri Perkhidmatan: Melody Corporation House Sdn Bhd
  • Anugerah Industri Peruncitan: Ashvertising Marketing Sdn Bhd
  • Anugerah Industri Pembuatan: Eskandar Global Sdn Bhd
  • Anugerah Usahawan Global: Syarikat Pak Tam Katering Sdn Bhd
  • Anugerah Usahawan Premium: Nims Adeliciousz Sdn Bhd

Pengarang :