EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berucap ketika merasmikan Imaarah Wanita dan Keluarga Madani 2024 di Seksyen 7, Shah Alam pada 14 Januari 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

NGO, pemain industri dipelawa jayakan kempen keselamatan kanak-kanak

SHAH ALAM, 1 FEB: Kempen Keluarga Selamat Selangor akan segera dilaksana bagi meningkatkan kesedaran ibu bapa dan anggota masyarakat berkait keselamatan kanak-kanak.

Justeru EXCO kebajikan masyarakat mengalu-alukan kerjasama pelbagai pihak dalam menjayakan kempen itu terutama badan bukan kerajaan (NGO) dan pemain industri melalui pembangunan aplikasi khas.

“Dalam situasi ini, saya fikir sangat baik jika ada intervensi pintar menerusi inovasi teknologi. Kita perlukan syarikat pemula yang boleh membangunkan aplikasi dan peranti.

“(Peranti) yang membolehkan ibu bapa memantau atau menerima amaran keberadaan kanak-kanak secara digital dan fizikal seperti dalam kenderaan atau di pusat jagaan,” kata Anfaal Saari dalam kenyataan di Facebook.

Kanak-kanak menyertai aktiviti melukis ketika ibu bapa mereka mendengar forum Imaarah Wanita dan Keluarga Madani 2024 di Seksyen 7, Shah Alam pada 14 Januari 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Beliau menambah kerjasama turut melibatkan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Selangor bagi melaksanakan kempen kesedaran keselamatan digital kanak-kanak berikutan golongan itu terdedah bahaya internet dan media sosial seperti antun seksual (sexual grooming).

Anfaal mengulas isu seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun yang ditemukan meninggal dunia selepas tertinggal dalam kereta kira-kira empat jam di kawasan parkir sebuah hospital di sini kelmarin.

“Kes ini memberi amaran ‘red flag’ kepada kita terutama kepada saya sebagai pembuat dasar kerana isu yang sama telah berlaku berulang kali.

“Saya ingin sampaikan ucapan takziah kepada keluarga kanak-kanak berkenaan. Sebagai seorang ibu, saya amat dukacita membaca berita ini,” katanya lagi.


Pengarang :