SHAH ALAM, 18 FEB: Skuad badminton lelaki negara gagal mempertahankan gelaran juara selepas tumpas kepada China pada aksi akhir Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 petang ini.
Sekadar berpuas hati di tempat kedua, pasukan negara kalah 0-3 apabila aksi pertama menyaksikan pemain perseorangan pertama Leong Jun Hao tewas 19-21, 17-21 kepada Weng Hong Yan.
Bagaimanapun beregu negara yang juga bekas juara dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik bangkit menentang Xie Hao Nan-Zheng Wei Han selepas terikat 1-1 namun terpaksa akur apabila kalah tipis 21-23 pada aksi penentuan.
China terus menampilkan aksi menarik dan yakin apabila pemain perseorangannya Lei Lan Xi mudah mengalahkan Eogene Ewe 21-10 dan 21-14.
Trofi kemenangan BATC disampaikan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
Malaysia yang tampil sebagai juara bertahan melangkah ke final buat kali ketiga berturut-turut selepas menewaskan Jepun 3-1 manakala China mara menerusi kemenangan 3-2 ke atas Korea Selatan pada separuh akhir semalam.
Bagi edisi dua tahun lalu yang turut berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City, Setia Alam, skuad negara muncul juara buat kali pertama selepas mengatasi Indonesia 3-0 pada perlawanan akhir.
Sementara itu skuad wanita negara hanya melepasi suku akhir sekali gus terlepas slot automatik ke Piala Uber apabila tunduk di tangan juara bertahan, Indonesia 3-0 pada Jumaat.