AGENDANASIONAL

Cuaca panas, kering tidak jejas tanaman padi di Kedah

ALOR SETAR, 18 FEB: Musim panas dan kering yang melanda negara khususnya di Kedah dilihat tidak memberi kesan terhadap aktiviti tanaman padi di kawasan Muda, kata Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada).

MADA dalam kenyataan hari ini memaklumkan prestasi kemajuan tanaman padi bagi musim 2/2023 sehingga hari ini mencapai 99.3 peratus melibatkan kawasan seluas 100,011 hektar.

“Manakala peringkat berbunga 80.3 peratus dengan keluasan 80,831 hektar, tanaman masak 38 peratus dengan keluasan 38,282 hektar dan 12.1 peratus atau seluas 12,208 hektar padi telah dituai,” katanya.

Menurut Mada, jumlah takungan air ketiga-tiga empangannya pula berada pada paras selesa dan mencukupi bagi menampung keperluan sumber pengairan untuk aktiviti tanaman padi musim ini.

Katanya, takungan air di Empangan Pedu berada pada kadar 71.71 peratus, Empangan Muda (72.80 peratus) dan Empangan Ahning (93.96 peratus).

Selain itu, Mada memaklumkan jumlah hujan di kawasan Muda merekodkan bacaan lebih rendah iaitu 12 milimeter (mm) berbanding purata hujan selama 20 tahun iaitu 47mm tidak akan menjejaskan aktiviti tanaman musim ini yang dijangka selesai pada hujung bulan depan.

Beliau berkata bagi menghadapi musim cuaca kering, Mada tetap mengambil langkah berjaga-jaga dan melakukan tindakan segera dengan memaksimumkan penggunaan stesen pam guna semula bagi menjimatkan air daripada empangan.

“Mada turut menjalankan operasi membekalkan air pengairan secara penggiliran mengikut keperluan aktiviti persawahan di setiap wilayah berdasarkan fasa tanaman sehingga aktiviti musim 2/2023 selesai sepenuhnya,” katanya.

Mada turut menasihatkan peladang untuk menguruskan air di peringkat sawah secara berhemat bagi memastikan bekalan air dapat diagihkan dengan sempurna dan mengelakkan pembaziran.

– BERNAMA


Pengarang :