Pengunjung memilih barangan asas di Jualan Ehsan Rahmah (JER) Mega Tahun Baharu Cina di Kompleks 3K, SS13, Subang Jaya pada 9 Februari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Bawa balik barangan jualan murah ke kampung untuk ahli keluarga, saudara-mara

SUBANG JAYA, 9 FEB: Harga murah di Jualan Ehsan Rahmah (JER) Mega mendorong pengunjung pulang lewat ke kampung menyambut Tahun Baharu Cina bagi membeli keperluan harian.

Loo, 63, berkata beliau sepatutnya bertolak ke Perak hari ini tetapi menangguhkannya untuk membeli keperluan harian terutama produk keluaran Ehsan untuk dibawa pulang ke kampung.

“Produk keluaran Ehsan sangat sedap seperti biskut, susu dan kaya. Saya balik esok, beli barang di sini dan bawa ke kampung untuk beri mereka rasa.

Loo, 63, ditemui di Jualan Ehsan Rahmah (JER) Mega Tahun Baharu Cina DUN Subang Jaya pada 9 Februari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Saya selalu beli barang di jualan ini kerana harga sangat murah dan jimat belanja,” katanya ditemui dalam program itu peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Subang Jaya di SS13 di sini, hari ini.

Sementara itu, Chea Seng Chuan, 71, berkata beliau ternanti-nanti jualan itu kerana ini kali pertama dianjurkan di Subang Jaya tahun ini.

“Hari ini saya dapat beli barangan keperluan seperti telur tiga papan berbanding sebelum ini satu papan sahaja.

Chea Seng Chuan, 71, ditemui di Jualan Ehsan Rahmah (JER) Mega Tahun Baharu Cina DUN Subang Jaya pada 9 Februari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Harap jualan ini lebih kerap dianjurkan kerana saya tidak kisah perlu tunggu lama sedikit janji dapat beli barang pada harga murah,” katanya.

Bagi Sabariah Abdul Latif, 50, kehadirannya ke jualan murah itu adalah kali pertama kerana sebelum ini tidak mengetahuinya.

“Saya pergi rumah saudara di sini kebetulan mereka ajak untuk beli barang dapur di jualan ini dan ia sangat berpatutan serta murah berbanding pasaran luar.

Sabariah Abdul Latif, 50, ditemui di Jualan Ehsan Rahmah (JER) Mega Tahun Baharu Cina DUN Subang Jaya pada 9 Februari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Saya tidak tahu jualan ini, namun selepas ini akan minta anak layari Facebook Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) untuk mengetahui lokasi jika dianjurkan berhampiran rumah di Klang,” katanya.

Orang ramai berpeluang mendapatkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM13).

Wakil Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Selangor meninjau Jualan Ehsan Rahmah (JER) Mega Tahun Baharu Cina di Kompleks 3K, SS13, Subang Jaya pada 9 Februari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

JER kendalian PKPS dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dijadual berlangsung di lebih 1,800 lokasi tahun ini, tidak termasuk program jualan murah di beberapa cawangan pasar raya Segi Fresh pada hujung minggu.

Tahun lalu PKPS menerima Anugerah Pengurusan Berkualiti 2023 daripada Malaysia Book of Records (MBOR) berikutan kejayaan cemerlang termasuk pengendalian program JER.

Lokasi terkini jualan murah boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan http://linktr.ee/myPKPS.

Pengunjung membuat bayaran di Jualan Ehsan Rahmah (JER) Mega Tahun Baharu Cina di Kompleks 3K, SS13, Subang Jaya pada 9 Februari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Pengarang :