Usahawan berswafoto pada majlis Anugerah Usahawan PKNS 2023 di Pusat Konvensyen Shah Alam pada 31 Januari 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Dari rumah ke pasar raya, jualan meningkat lepas sertai program usahawan PKNS

SHAH ALAM, 1 FEB: Program pembangunan usahawan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) berkesan meningkatkan prestasi perniagaan pesertanya.

Pemenang anugerah khas (Anugerah Usahawan Gemilang SELBIZ 2023) Robiatul Adawiah Ibrahim berkata latihan dan bimbingan PKNS berjaya meningkatkan potensi pasaran produknya.

Menurut pengasas Rabi Sugarflour Cafe’ Ent itu selepas penyertaannya dalam program PKNS Mexpro, syarikatnya yang menyediakan dan membekalkan durian crepe kini berjaya meluaskan pasaran ke pasar raya berbanding hanya ejen sebelum ini.

Pengasas Rabi Sugarflour Cafe’ Ent, Robiatul Adawiah Ibrahim bercakap kepada Media Selangor selepas majlis Anugerah Usahawan PKNS 2023 di Pusat Konvensyen Shah Alam pada 31 Januari 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Saya masuk ke sini memang sudah berniaga tapi baru sedar banyak yang kita tidak tahu. Di sini mereka bukan ajar kita cara menjual tetapi membangunkan produk dan bagaimana untuk berkembang lebih maju,” katanya ditemui selepas majlis Anugerah Usahawan PKNS 2023 di sini malam tadi.

Pengarah Urusan Ashvertising Marketing Sdn Bhd Mohd Ashraf Ab Aziz berkata selepas menyertai program GROW PLUS PKNS peningkatan jualan sangat memberangsangkan malah pelbagai kos termasuk pengoperasian dapat dikurangkan.

“Memang nampak ketara berbeza hasil jualan lepas saya sertai program PKNS. Sebelum ini kami bermula dari rumah saja, kini sudah ada lima pintu kedai,” kata pemenang kategori anugerah cemerlang industri peruncitan ini.

Pengarah Urusan Ashvertising Marketing Sdn Bhd, Mohd Ashraf Ab Aziz menunjukkan piala yang diterima selepas majlis Anugerah Usahawan PKNS 2023 di Pusat Konvensyen Shah Alam pada 31 Januari 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Seramai 12 usahawan PKNS menerima pengiktirafan dan penganugerahan atas pencapaian dan kecemerlangan masing-masing dalam bidang keusahawanan.

Anugerah kepada usahawan membabitkan tiga kategori iaitu Anugerah Khas (Anugerah Usahawan Gemilang SELBIZ 2023) dan Anugerah Program Bermodul PKNS (Anugerah Usahawan Terbaik BIZUP, GROW dan GROW PLUS).

Selain itu kategori Anugerah Cemerlang adalah anugerah usahawan PKNS (luar Selangor), anugerah industri makanan/minuman (pembuatan), anugerah industri makanan/minuman (perkhidmatan), anugerah industri perkhidmatan, anugerah industri peruncitan, anugerah industri pembuatan, anugerah usahawan global (eksport) dan anugerah usahawan premium.

Antara usahawan yang hadir pada majlis Anugerah Usahawan PKNS 2023 di Pusat Konvensyen Shah Alam pada 31 Januari 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

PKNS turut memberi anugerah penghargaan kepada rakan agensi iaitu Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), SME Corp, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Agro Bank.


Pengarang :