Penduduk Kampung Pasir Raja, Hulu Dungun membersihkan rumah selepas dilanda banjir lumpur pada 27 Januari 2024. Foto Facebook BERNAMA
AGENDANASIONAL

Mangsa banjir Terengganu kekal 463 orang, dua PPS dijangka tutup Sabtu ini

KUALA TERENGGANU, 1 FEB: Jumlah mangsa banjir di Terengganu kekal 463 orang daripada 149 keluarga yang berlindung di dua pusat pemindahan sementara (PPS) di Dungun pagi ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu dalam kenyataan memaklumkan setakat 8 pagi ini, 237 mangsa daripada 88 keluarga berada di PPS Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja manakala 226 mangsa daripada 61 keluarga lagi, ditempatkan di PPS Dewan Serbaguna Kampung Shukor.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu Leftenan Kolonel (PA) Mohd Rosman Abdullah berkata meskipun banjir sudah surut dan cuaca semakin pulih, namun terdapat mangsa masih berada di PPS kerana penduduk terjejas sedang dalam proses membersihkan rumah dan barangan.

“Ada lagi penduduk masih membersihkan kediaman masing-masing. Bagaimanapun mereka sudah pulang ke rumah secara berperingkat mulai hari ini.

“Kedua-dua PPS dijangka tutup sepenuhnya Sabtu ini,” katanya ketika dihubungi.

– BERNAMA


Pengarang :