Orang ramai yang hadir pada program Jualan Ehsan Rahmah DUN Bukit Antarabangsa di Dewan MPKK Kampung Sri Tanjung, Kampung Melayu Ampang pada 27 Ogos 2023. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI.
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Pandan Indah, Subang Jaya lokasi jualan murah mega Tahun Baharu Cina

SHAH ALAM, 9 FEB: Jualan Ehsan Rahmah (JER) mega sempena Tahun Baharu Cina menemui orang ramai di dua lokasi pagi ini mulai jam 10 pagi.

Jualan murah kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) itu dianjurkan di Jalan Pandan Indah 6/3 (DUN Pandan Indah) dan SJ65 Kompleks 3K, SS13 (DUN Subang Jaya).

Program sehingga jam 1 tengah hari itu memberi peluang orang ramai mendapatkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) serta beras lima kg (RM13).

Sementara itu, PKPS menerusi Facebook memaklumkan JER berehat tiga hari mulai esok (10 Februari) sempena Tahun Baharu Cina dan kembali beroperasi Selasa ini (13 Februari).

Sebelum ini, PKPS memaklumkan JER dijadual berlangsung di lebih 1,800 lokasi tahun ini, tidak termasuk program jualan murah di beberapa cawangan pasar raya Segi Fresh pada hujung minggu.

Tahun lalu PKPS menerima Anugerah Pengurusan Berkualiti 2023 berikutan kejayaan cemerlang termasuk pengendalian program JER.

Agensi itu turut diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar sempena Aidilfitri.

Lokasi terkini jualan murah boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan http://linktr.ee/myPKPS.


Pengarang :