Foto Facebook Amirudin Shari
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Peluang beli barangan asas murah di tiga lokasi esok

SHAH ALAM, 12 FEB: Warga Selangor dipelawa mengunjungi program Jualan Ehsan Rahmah (JER) kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) yang kembali bersambung esok.

“Warga Selangor berpeluang menikmati harga barangan makanan mentah dan asas pada harga lebih rendah berbanding pasaran sempena JER.

“Program yang diadakan di tiga lokasi akan bermula dari 10 pagi hingga 1 tengah hari,” menurut perkongsian Facebook Amirudin Shari.

Tiga lokasi tersebut di Surau Mujahirin Jalan Nenas (DUN Meru), Dewan Orang Ramai Kampung Orang Asli Bukit Bangkong (DUN Tanjung Sepat) dan gelanggang bola keranjang BRP7 Bukit Rahman Putra (DUN Paya Jaras).

Program jualan murah barangan asas itu dihentikan seketika selama tiga hari sempena Tahun Baharu Cina bersambung semula esok.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM13).

Sebelum ini, PKPS menerima Anugerah Pengurusan Berkualiti 2023 kerana kejayaan cemerlang termasuk pengendalian program JER. Agensi itu turut diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri.

Mulai 2022, Kerajaan Negeri melancarkan program jualan murah, lanjutan Program Agro Prihatin Selangor yang diperkenal pada 2 Jun 2021 menerusi Pakej Kita Selangor 2.0. Ia bertujuan mengatasi lambakan hasil tani akibat pandemik Covid-19.

Program itu dijenamakan sebagai Jualan Prihatin Rakyat pada 28 Februari 2022. Pelaksanaannya dilanjutkan sehingga Julai 2022. Pada 30 Ogos 2022, ia diumumkan pula sebagai Jualan Ehsan Rakyat.

Ia kemudian ditukar kepada Jualan Ehsan Rahmah selepas PKPS bekerjasama dengan  Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Lokasi terkini jualan murah boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan linktr.ee/myPKPS.


Pengarang :