Anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan menjalankan pemeriksaan ke atas kenderaan berat pada Ops Tahun Baharu Cina 2024 di Plaza Tol Kemuning arah Kuala Lumpur/Shah Alam pada 9 Februari 2024. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Pemandu bas tiada lesen memandu ditahan, perjalanan penumpang ke KLIA tertangguh

SHAH ALAM, 10 FEB: Perjalanan sebuah bas persiaran menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tertangguh kira-kira sejam apabila pemandunya ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Plaza Tol Kemuning, di sini malam tadi kerana tiada lesen memandu.

Pemandu lelaki berusia 33 tahun itu antara individu ditahan menerusi Ops Tahun Baharu Cina 2024 yang dijalankan JPJ.

Ketika ditahan, dia membawa 11 penumpang tempatan dari Bandar Puteri, Klang menuju KLIA dan memberi alasan mahu membantu syarikat bas abangnya yang mengalami masalah kekurangan pemandu.

Pengarah Kanan Penguat kuasa JPJ Datuk Lokman Jamaan berkata pihaknya mengeluarkan kompaun terhadap pemandu itu dan bas berkenaan kemudian dibenarkan meneruskan perjalanan selepas pemandu gantian tiba.

“Memandu tanpa lesen ini, jika apa-apa berlaku tidak boleh buat tuntutan insurans. Bahaya… lebih-lebih lagi membawa pelancong,” katanya.

Mengulas mengenai penubuhan pasukan khas khusus bagi mengendalikan kes kenderaan berat melebihi had muatan, beliau berkata 60 sitaan dibuat sejak mula dikuatkuasakan enam bulan lalu.

“Semua kes sitaan itu sudah didakwa di mahkamah dan dalam proses untuk mendapatkan perintah lucut hak,” katanya.

Beliau berkata pihaknya akan melaksanakan operasi khas kenderaan berat yang melebihi had muatan fasa dua selepas Tahun Baharu Cina.

Dalam pada itu, Lokman berkata setakat lapan hari Ops Tahun Baharu Cina 2024 dijalankan di seluruh negara pihaknya merekodkan 57,110 notis atas pelbagai kesalahan dengan 243,257 kenderaan diperiksa.

“Berdasarkan analisis awal data operasi ini dalam tempoh lapan hari, kami dapati tahap kesedaran dan pematuhan peraturan berada pada tahap rendah dan tidak memuaskan untuk keselamatan pengguna jalan raya terutama membabitkan kenderaan komersial,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :