Skuad taekwondo negara raih emas menerusi acara berpasukan lelaki di kejohanan Terbuka Kanada 2024 pada 10 Februari 2024. Foto Facebook Majlis Sukan Negara Malaysia
AGENDASUKANKINI

Skuad taekwondo negara raih emas, perak, gangsa di Terbuka Kanada

KUALA LUMPUR 10 FEB: Skuad taekwondo negara menampilkan aksi cemerlang di kejohanan Terbuka Kanada 2024 apabila menuai satu emas, satu perak dan satu gangsa dalam disiplin poomsae awal pagi tadi.

Emas Malaysia disumbangkan menerusi acara berpasukan lelaki yang dibarisi Jason Loo, Ken Haw Chin dan Randy Owen Augustine Linggi selepas meraih 8.449 mata, sekali gus mengatasi Amerika Syarikat di tempat kedua (8.183 mata) manakala wakil tuan rumah meraih gangsa dengan 8.049.

Pasukan wanita bagaimanapun terpaksa berpuas hati dengan pingat perak.

Meskipun meraih jumlah mata yang sama dengan pemenang pingat emas Mexico (8.199), skuad wanita yang dibarisi Nur Humaira Abdul Karim, Wong Zin dan Seah Jin Ying terpaksa akur selepas dibezakan 0.5 markah persembahan bagi penentuan juara.

Gangsa pula milik pasukan Kanada.

Sementara itu dalam poomsae berpasangan campuran, Malaysia merangkul gangsa menerusi gandingan Randy Owen-Jin Ying yang mencatatkan 8.282 mata keseluruhan.

Emas dimenangi wakil Kanada Ivan Leung-Cheuk Holly Hoi Ling dengan 8.582 mata manakala perak dimenangi Ryan Real-Kryn Real (8.366) dari Amerika Syarikat.

– BERNAMA


Pengarang :