DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berswafoto ketika menyertai gotong-royong bersama rakyat di Alor Lempah, Ampang Pechah sempena program Ekplorasi Gagasan Rumpun Selangor peringkat daerah Hulu Selangor 2024 di Kuala Kubu Bharu pada 23 Februari 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Raja Muda cemar duli sertai gotong-royong bersama rakyat di Alor Lempah

HULU SELANGOR, 23 FEB: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor berkenan mencemar duli bergotong-royong bersama rakyat di Alor Lempah, Ampang Pechah di sini.

Ketibaan Tengku Amir Shah sekitar 7.45 pagi tadi disambut EXCO Perpaduan Datuk Rizam Ismail dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) Mohd Hasry Nor Mohd sempena Program Ekplorasi Gagasan Rumpun Selangor daerah Hulu Selangor.

DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah diiringi EXCO Perpaduan Datuk Rizam Ismail menyertai gotong-royong bersama rakyat di Alor Lempah, Ampang Pechah sempena program Ekplorasi Gagasan Rumpun Selangor peringkat daerah Hulu Selangor 2024 di Kuala Kubu Bharu pada 23 Februari 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

Aktiviti selama satu jam itu disertai hampir 300 individu termasuk pelajar dari Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Pertak dan Kolej Darul Quran, Hulu Selangor selain beberapa kakitangan dari agensi kerajaan antaranya MPHS, Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd.

Sementara itu, pelajar IKBN Pertak Nurafiqah Dhaniyah Faridridhzuan, 20, akui tidak sabar untuk menyertai gotong-royong bersama Tuanku hari ini.

Pelajar Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Pertak Nurafiqah Dhaniyah Faridridhzuan, 20,

“Kami tahu sejak minggu lepas Raja Muda akan menyertai program ini di sini, perasaan sangat teruja dan tidak sabar untuk jumpa Baginda,” katanya.

Sementara itu, pelajar Kolej Darul Quran Muhammad Muaz Jamal, 21, turut menyifatkan aktiviti gotong-royong hari ini unik dan menggembirakan apabila turut disertai Tuanku.

Pelajar Kolej Darul Quran Muhammad Muaz Jamal, 21,

“Gotong-royong itu perkara biasa dan memang kami selalu buat tetapi hari ini lain daripada lain apabila Tuanku turut mencemar duli sertai program ini. Paling seronok dapat berswasfoto dengan Tuanku,” katanya.

Terdahulu, Tengku Amir turut menunaikan solat subuh di Masjid Warisan Al-Hidayah, Taman Ampang Pechah dan tengah hari ini dijadual berangkat menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Ar-Rahimah Kuala Kubu Bharu.

Program Eksplorasi Gagasan Rumpun Selangor yang membuka tirai Rabu lalu di daerah ini bermula dengan tuanku bertemu rakyat di Jalan Mat Kilau di pekan Kuala Kubu Bharu kemudian berangkat melawat lorong seni yang dikenali Kuala Kubu Bharu Back Lane Art Gallery.

DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah yang diiringi Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan EXCO Perpaduan Datuk Rizam Ismail berkenan melancarkan logo rasmi Gagasan Rumpun Selangor pada Program Ekplorasi Gagasan Rumpun Selangor peringkat daerah Hulu Selangor 2024 di Kuala Kubu Bharu pada 22 Februari 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

Semalam, Tengku Amir berangkat ke Majlis Perasmian Gagasan Rumpun Selangor di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Kuala Kubu Bharu yang turut dihadiri Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Sebelum ini, Amirudin ketika membentang Belanjawan Selangor 2024 memperkenalkan Gagasan Rumpun Selangor dengan peruntukan RM4.5 juta bagi meraikan kepelbagaian dan menyemarak semangat perpaduan di negeri ini.


Pengarang :